TOKYO 4 Julai - Logam nadir yang sukar ditemui serta menjadi komponen penting dalam pembuatan produk elektronik berteknologi tinggi ditemui dalam jumlah yang banyak di dasar Lautan Pasifik, dipercayai 1,000 kali ganda kuantiti yang terdapat di darat.
Deposit mineral itu boleh dikeluarkan dengan mudah, kata saintis Jepun yang mengumumkan penemuan tersebut, hari ini."Deposit itu padat dengan logam tersebut, hanya satu kilometer persegi deposit akan dapat memenuhi satu per lima daripada penggunaan tahunan global pada masa kini," kata profesor madya sains bumi di Universiti Tokyo, Yasuhiro Kato.
Deposit tersebut ditemui oleh sepasukan saintis diketuai Kato termasuk penyelidik daripada Agensi bagi Sains dan Teknologi Marin-Bumi Jepun.
Mereka menemui mineral itu dalam lumpur laut yang dikeluarkan dari 78 lokasi pada paras antara 3,500 hingga 6,000 meter di bawah permukaan lautan.
Satu pertiga daripada lokasi itu kaya dengan logam tersebut yang juga dikenali sebagai logam yttrium, kata Kato dalam wawancara menerusi telefon.
Deposit tersebut terletak di perairan antarabangsa di kawasan yang terbentang dari timur ke barat Hawaii, serta ke timur Tahiti di Polinesia Perancis, katanya.
Kato menganggarkan logam yang sukar ditemui itu yang terkandung dalam deposit tersebut berjumlah anrara 80 hingga 100 bilion tan, berbanding rizab global yang disahkan buat masa ini oleh Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berjumlah hanya 110 juta tan yang ditemui kebanyakannya di China, Rusia, bekas negara Kesatuan Soviet yang lain, dan Amerika Syarikat.
Butir-butir penemuan itu disiarkan hari ini dalam versi dalam talian jurnal Britain, Nature of Geoscience.
Paras uranium dan thorium iaitu bahan radioaktif yang selalunya terkandung dalam deposit sedemikian dan boleh membahayakan alam sekitar, didapati hanya satu perlima daripada paras yang dikesan dalam deposit di darat, ujar Kato.
Kekurangan kronik bekalan logam yang sukar ditemui itu, yang penting dalam pembuatan pelbagai produk elektronik berteknologi tinggi, magnet dan bateri, menggalakkan aktiviti perlombongan bagi bahan galian itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Reuters
No comments:
Post a Comment