ATHENS 4 Julai - Greece semalam menyatakan kesediaan untuk mengirimkan bantuan kemanusiaan kepada Pihak Berkuasa Palestin selepas pihaknya melarang flotila kapal bantuan ke Genting Gaza belayar dari pelabuhannya dan menahan kapten salah sebuah bot terlibat.
Ketika menghubungi Presiden Palestin Mahmoud Abbas melalui telefon semalam, Perdana Menteri Greece George Papandreou menawarkan untuk menghantar bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan bekalan perubatan ke Gaza dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Abbas menyambut positif cadangan itu dan menyatakan sokongannya," jelas satu kenyataan dari pejabat Perdana Menteri Greece.
Flotila kemanusiaan ke Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan serta beratus-ratus aktivis dari pelbagai negara sepatutnya memulakan pelayaran mereka dari Greece minggu lalu.
Dalam satu kenyataan berasingan yang dikeluarkan semalam, Kementerian Luar Greece menjelaskan pihaknya tidak membenarkan flotila itu belayar dari pelabuhan Greece atas sebab-sebab keselamatan sejajar dengan permintaan PBB serta saranan Kesatuan Eropah (EU).
Sementara itu, kumpulan- kumpulan pro-Palestin seperti Pergerakan Perpaduan dan aktivis dari seluruh negara ini berhasrat melancarkan protes besar-besaran di lapangan terbang Israel pada Jumaat ini bagi membantah sekatan rejim Zionis ke atas Gaza serta polisi-polisi lain yang dilaksanakan Israel.
Media melaporkan kumpulan aktivis itu mahu menganggu penerbangan keluar masuk ke Israel. - Reuters/AP
No comments:
Post a Comment