Friday, July 22, 2011

Palestin kutuk tindakan Israel


GAZA CITY 21 Julai - Palestin mengutuk tindakan tentera Israel merampas bot layar Perancis, Dignite/Al Karama dan meminta campur tangan antarabangsa bagi menamatkan sekatan rejim Zionis Israel ke atas Genting Gaza sejak lebih empat tahun lalu.

Bot tersebut dirampas oleh tentera Zionis Israel, kelmarin ketika dalam pelayaran menuju Gaza dengan tujuan untuk melanggar sekatan maritim Israel ke atas wilayah Palestin itu.

Pengarah biro media Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA), Ghassan al-Khatib berkata, PNA mengutuk tindakan Israel memintas dan merampas bot layar Perancis itu.

"Pendirian rasmi kami sejak awal lagi ialah mengutuk dasar Israel yang menyekat segala jenis bantuan kemanusiaan Gaza yang mahu dihantar oleh pergerakan pro-Palestin antarabangsa," kata al-Khatib.

PNA juga mengutuk kerjasama antara Israel dengan beberapa negara Eropah bagi menyekat flotila bantuan ke Gaza.

Awal kelmarin, tentera laut Israel memintas Dignite/Al Karama yang membawa bantuan kemanusiaan dan 16 aktivis pro-Palestin serta memaksa bot itu belayar ke pelabuhan Ashdod di Israel untuk pemeriksaan keselamatan.

Israel mengusir 15 aktivis asing di dalam bot itu semalam setelah menyoal siasat mereka.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan Hamas di Gaza, Ismail Radwan menyifatkan tindakan tentera Israel merampas bot itu sebagai 'tindakan lanun dan jenayah perang'.

Hamas yang memerintah Gaza menggesa masyarakat antarabangsa memilih antara undang-undang hak asasi manusia atau hukum lanun dan rimba yang diamalkan oleh rejim Zionis Israel.

Pergerakan Islam itu menggesa lebih banyak kapal bantuan dihantar ke Gaza dalam usaha untuk melanggar sekatan Israel. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment