Friday, July 22, 2011

Bersih 2.0: Mat Sabu arah peguam fail saman PDRM - The Malaysian Insider

July 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Mohamad Sabu telah mengarahkan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin agar menghantar surat saman kepada Polis Diraja Malaysia kononnya beliau berbohong berhubung isu kemalangan motosikal dinaikinya ketika perhimpunan 9 Julai.

Mengikut laporan HarakahDaily, Hanipa berkata, Timbalan Presiden PAS telah menghubunginya pagi ini dan mengarahkan beliau menghantar notis kepada pihak berkenaan ekoran dakwaan semalam.

Semalam, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid dalam sidang medianya berkata, tidak ada kebenaran bahawa kenderaan milik polis melanggar motosikal pemimpin PAS itu.

“Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar ‘fender’ Pajero,” katanya.

Video berkenaan menunjuk sebuah kenderaan polis mengejar dua motosikal, satu yang dibonceng oleh Mat Sabu (gambar). Namun visual berkenaan tidak jelas menunjukkan apa yang berlaku kerana beberapa sudut pandangan tidak dapat dirakamkan.

“Saya harap akan dapat menghantar notis kepada Bukit Aman minggu depan meminta mereka menarik balik dakwaan Mohamad Sabu menipu,” kata Hanipa kepada Harakahdaily.

Hanipa yang juga timbalan pengerusi Lajnah Undang-undang PAS memberitahu, Mohamad menegaskan bahawa jika polis tidak teragak-agak menyamannya kerana mendakwa dia menipu, pihak beliau juga tidak teragak-agak untuk menyaman polis atas dakwaan memfitnahnya.

Sebelum ini Mohamad mendakwa motosikal yang dinaikinya semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lepas telah dirempuh sebuah kenderaan polis dan menyebabkan beliau terjatuh dan lututnya cedera.

Akibatnya, Mohamad terpaksa menjalani pembedahan lutut dan 2½ skru telah dimasukkan ke dalam lututnya untuk mengukuhkan ligamennya yang koyak.

Namun begitu, Umno dan penyokong mereka mendakwa, Mohamad dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim pura-pura cedera untuk meraih simpati.

Dua hari lepas, pengawal peribadi Anwar membuat laporan polis ekoran kecederaan yang dihadapinya selepas ditambak dengan gas pemedih mata secara yang tidak betul sehingga menyebabkan tulang pipinya patah terkena balang berisi gas pemedih mata yang ditembak ke arahnya.

Sementara itu, Keadilandaily melaporkan, Mohamad Sabu berkata beliau dirempuh kereta Proton Waja polis, dan bukan kenderaan Pajero seperti yang didakwa pasukan keselamatan itu.

Katanya, perkara itu turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat beliau pada 14 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

“Saya minta tarik balik pembohongan, kalau tidak kita akan saman polis dan Datuk Salleh Mat Rashid kerana melakukan fitnah,” katanya kepada Keadilandaily.

Berdasarkan rakaman CCTV yang ditayangkan polis, katanya, rakaman itu juga menunjukkan sebuah kereta Proton Waja mengekori Pajero terbabit ketika sedang mengejar motosikal yang diboncengnya ketika itu.

“Dalam video polis, yang tidak ditunjuk adalah kereta Waja yang di belakang kereta Pajero yang melanggar motosikal itu.

“Kereta Waja yang ‘cross’ itu (yang melanggar),” kata beliau.

Ketika ditanya laporan media 11 Julai lalu yang mengatakan beliau dilanggar Pajero polis, Mohamad berkata terdapat pelbagai pandangan pada masa itu.

“Tetapi selepas bertanya kepada penunggang saya, kereta Waja itu yang melanggar,” katanya.

Bersih 2.0: Mat Sabu arah peguam fail saman PDRM - The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment