Dakwaan itu datang daripada seorang penulis blog yang menggelarkan dirinya sebagai 'Spider Truman', yang mengatakan maklumat itu diperolehinya semasa bekerja di Dewan Rakyat sebelum beliau dipecat.
Kini, akaun Facebooknya mempunyai seramai 341,800 pengikut dan jumlah itu semakin bertambah.
'Ahli politik mempunyai keistimewaan yang tidak masuk akal dan gaji yang terlalu tinggi dan kita seperti telah kembali ke zaman kuno Yunani, ketika tuhan-tuhan di Gunung Olympus menentukan nasib rakyat.
'Sudah tiba masanya, Italy bangun daripada tidur dan berkata 'Cukup!' terhadap ketidakadilan ini,' kata seorang lagi penulis blog, Encik Leonardo Monti, 21 tahun.
Blog milik 'Spider Truman' mendakwa ahli politik menipu dengan pelbagai cara bagi memperolehi kemewahan seperti membuat laporan palsu tentang kecurian barang bagi mendapatkan insurans pemerintah dan malah membuat surat ancaman palsu bagi diri sendiri untuk mendapatkan pengawal peribadi khas.
Penulis blog itu juga mendakwa Parlimen menggaji sembilan pendandan rambut dengan memberi gaji sebanyak 11,000 euro ($19,006) sebulan setiap seorang.
Dewan Rakyat kemudian membuat kenyataan bahawa mereka hanya menggaji tujuh tukang gunting rambut dengan gaji 2,400 euro sebulan.
Berbilion dolar juga didakwa dibelanjakan setiap tahun menampung hidup mewah Ahli Parlimen, termasuk kereta mewah dengan pemandu; penerbangan dan perjalanan menggunakan kereta api secara percuma; tiket wayang dan teater percuma dan diskaun yang banyak bagi penjagaan kesihatan dan semasa makan di restoran, demikian menurut laporan media tempatan.
Ahli Parlimen Italy juga didakwa memperolehi gaji dua kali ganda lebih besar berbanding pendapatan purata di Eropah dengan bayaran sebanyak 11,704 euro sebulan setiap orang.
'Mereka telah mencuri masa depan kami,' kata seorang pengguna Internet, Encik Fausto.
Seorang lagi menulis:
'Pada pandangan mereka, kami hanya 60 juta boneka yang bersedia menerima apa saja. Tetapi mereka harus berhati-hati, kerana 60 juta orang ialah satu bilangan yang ramai... Mereka sedang bermain dengan api.'
Perdana Menteri Italy, Encik Silvio Berlusconi, masih belum memberi sebarang reaksi mengenai isu tersebut.
Namun, ahli perniagaan dan pembangkang mendesak satu pengurangan segera dikenakan terhadap gaji dan pencen khas Ahli Parlimen Italy. -- AFP.
Cyberita Online Luar Negara
No comments:
Post a Comment