Friday, July 22, 2011

Najib dakwa Bersih 2.0 cuba guling tadbirannya - The Malaysian Insider

TERKINI @ 02:24:42 PM 22-07-2011
July 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa Bersih 2.0 cuba untuk menggulingkan kerajaannya dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran selain menafikan dakwaan gabungan itu bahawa wujud penipuan dalam sistem pilihan raya.

Ketika berucap selepas kembali kei tanah air daripada lawatan luar negara, perdana menteri terus mempertahankan bahawa pilihan raya di Malaysia adalah bersih sepanjang masa.

“Kita tidak pernah menipu dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia,” kata beliau di Kompleks Bunga Raya KLIA di sini.

Najib (gambar) juga menolak dakwaan Bersih 2.0 bahawa BN mempunyai kelebihan tidak adil dengan memiliki ruang besar di media ketika berkempen.

“Kami kata ia adil, mereka (Pakatan Rakyat) kata tidak adil. Mereka berkempen setiap hari, bukan itu tidak adil? Setiap hari ada ceramah di sini di sana... bukan itu tidak adil?” katanya lagi.

Najib berkata perlu ada kesimbangan antara kebebasan bersuara dan ketenteraman awam, tetapi menekankan tiada ruang untuk perselisihan faham di Malaysia.

Katanya, Bersih 2.0 telah menolak tawaran kerajaan agar mereka mengadakan perhimpunan di sebuah stadium.

Malah beliau juga mendakwa badan pemantau itu mahu mengadakan perarakan dan memprovokasi polis daripada mengetengahkan permintaan mereka.

“Ia bukan mengenai pembaharuan sistem pilihan raya,” kata Najib sambil memberitahu pihak berkenaan mahu menunjukkan seolah-olah Malaysia juga seperti dunia Arab yang berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

“Itu sebabnya mereka mahu menggambarkan (kononnya) kita sebagai kerajaan autokratik, sebenarnya mereka mahu merampas kuasa daripada kita yang dipilih oleh rakyat,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Najib dipetik Bernama Online berkata beliau tidak sanggup bercuti lama, malah telah berkorban masa cuti beliau untuk menemui rakyat.

Selepas melakukan lawatan lapan hari ke Turkmenistan, United Kingdom dan Itali, Najib akan berada di Selangor pula pada tengah hari Jumaat, melakukan tinjauan mesra di Subang dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Subang Perdana, seterusnya menyertai makan tengah hari bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Subang Perdana.

“(Habis lawatan) saya ajak keluarga saya berbincang. Saya kata rasa-rasa dalam hati, saya kena balik walaupun ikut jadual keluarga saya dan saya, nak bercuti di luar negara sementara tetapi rasa-rasa saya perlu balik ke Malaysia.

“Saya kata bahawa tidak mengapalah kalau saya perlu berkorban. Saya sanggup berkorban demi rakyat Malaysia,” kata beliau.

“Saya ucap terima kasih kepada isteri saya. Dia tak bantah dan sokong. Anak-anak saya pun sokong,” kata Najib dengan disambut tepukan gemuruh.

“Saya beritahu Tan Sri Muhyiddin (bahawa) penting kepada kami berdua turun padang. Kami nak jumpa dengan rakyat Malaysia. Saya minta juga menteri-menteri turun bersama.

“Kita berjumpa dengan rakyat. Kita bertemu dengan rakyat. Kita beritahu pada rakyat bahawa mereka boleh bergantung harapan kepada kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Perdana Menteri juga dijangka melakukan lawatan ke negeri Perlis esok.

“Ini adalah gambaran bahawa kita akan melakukan bersungguh-sungguh... yang terbaik. Percayalah bahawa imej Malaysia masih begitu tinggi di luar negara tetapi yang penting adalah untuk kita dahulukan rakyat.

“Kami mahu beritahu kepada rakyat Barisan Nasional adalah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Najib dakwa Bersih 2.0 cuba guling tadbirannya - The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment