Friday, July 22, 2011

Qari Arab Saudi berdarah Melayu





KUALA LUMPUR 21 Julai – Melihatkan rupa paras qari Arab Saudi, Helal Hussean yang mewakili negara itu ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53, ramai yang tertanya-tanya siapakah dia sebenarnya?

Ini kerana, Helal, 35, lebih kelihatan seperti orang Melayu daripada seorang lelaki Arab.

Kesempatan menemuinya membuka rahsia pemuda yang dilahir dan dibesarkan di Arab Saudi ini iaitu dia sebenarnya adalah hasil perkahwinan wanita Kelantan dan lelaki Palembang, Indonesia.

“Sebenarnya, ibu saya berasal dari Kelantan manakala bapa saya dari Palembang dan ini kunjungan kali ketiga saya ke negara ini.

“Walaupun bahasa Arab menjadi bahasa pertuturan harian di sana, sesekali kami bertutur dalam bahasa Melayu juga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Helal ialah qari kelima daripada lapan peserta yang memperdengarkan bacaan malam ini. Dia membacakan surah Saba, ayat ke-10.

Pengurus Madrasah Iman Warsy Tahfiz di Arab Saudi itu memperuntukkan masa selama sebulan untuk berlatih bagi meningkatkan bacaannya sebelum menghadiri tilawah kali ini.

Sementara itu, tilawah kali ini turut menyaksikan penyertaan ayah dan anak perempuan mewakili India.

Sadiqa Bano Qari Mohd. Sajid, 18, yang memperdengarkan bacaan sebagai qariah keempat berkata, penglibatan ayahnya sebagai wakil India dalam kategori lelaki memberi semangat kepadanya untuk mencuba.

“Ayah saya, Mohd. Sajid Faizi memperdengarkan bacaan pada malam pertama dan sudah tiga kali mewakili negara kami. Sewaktu mula tiba, saya agak gementar namun selepas empat hari, semuanya menjadi semakin baik,” katanya.

Sadiqa membaca surah Ar-Rahman bermula ayat 33.

Tilawah malam keempat dimulakan dengan qari Brunei, Awang Ismail Sulaiman yang memperdengarkan bacaan ayat ke-21 surah Syura diikuti qariah Afrika Selatan, Mariam Yaseen yang membaca surah Huda ayat ke-110.

Turut serta ialah qari dari Burkina Faso, Adama Doumbia, 20, yang juga pelajar universiti di Nigeria.

Adama membaca ayat ke-27 surah Sod serta wakil Mali, Abdoul Madjid Toure yang membaca surah Toha ayat 105 sebagai qari terakhir malam tadi.

Sebelum itu, qariah Sri Lanka, Fathima Rukaiya Afwan pula membawa surah Mumtahina ayat ke-8.

Sementara itu, johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, Amirahman Abas turut memperdengarkan bacaan malam ini sebagai qari keenam.

Amirahman, 29, yang juga guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan membaca ayat ke-65 surah Nahl.

“Saya sempat bertemu guru-guru lama saya bagi memperkemaskan bacaan dan mendalami aspek taranum. Selain itu, saya juga menjaga kesihatan supaya dapat memberi bacaan yang baik.

“Saya lihat banyak peserta dari negara lain juga sudah meningkatkan bacaan mereka dan mula memahami syarat-syarat yang diletakkan penganjur,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment