Ibunya, Teng Shuw Hor, 58, tetap menegaskan, anaknya telah dibunuh dan bukan membunuh diri.
"Sebagai seorang ibu, saya tidak dapat menerima anak saya membunuh diri. Anak lelaki saya telah dibunuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Kelemak di sini, hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas keputusan Suruhanjaya Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat terdiri daripada lima anggota panel dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong.
Suruhanjaya itu dalam laporannya mendapati Beng Hock membunuh diri berikutan sesi soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan.
Mengulas lanjut, Shuw Hor berkata, keluarganya tidak yakin dengan keputusan suruhanjaya itu yang mengenal pasti punca kematian Beng Hock berpunca akibat membunuh diri.
Sebaliknya, kata Shuw Hor, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertanggungjawab ke atas kematian anak lelakinya itu.
"Sesiapa yang membawa Beng Hock ke bangunan SPRM, orang itu perlu bertanggungjawab atas apa yang terjadi," ujarnya.
Tegasnya, tiga orang yang telah dinamakan dalam laporan suruhanjaya itu perlu didakwa kerana membunuh anak lelakinya.
Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, plaza berkenaan.
Bagaimanapun, tunang Beng Hock, Teoh Cher Wei enggan ditemui bagi mengulas keputusan yang diumumkan oleh suruhanjaya itu.
Utusan Malaysia Online - Berita Utama
No comments:
Post a Comment