KUALA LUMPUR - Polis semalam menunaikan janjinya apabila menayangkan sebahagian rakaman berhubung perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara 9 Julai lalu.
Rakaman video berdurasi lebih kurang satu jam itu dipertontonkan kepada wakil-wakil media dan juga beberapa ahli badan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Teater Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Ketua Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, tanyangan tersebut sebagai bukti untuk menolak enam tohmahan yang dilemparkan kepada polis oleh pihak tertentu melalui rakaman yang tersebar di Internet.
Enam tohmahan itu termasuk provokasi yang dilakukan oleh peserta perhimpunan haram terhadap polis; isu tembakan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin; dakwaan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu dilanggar Land Rover polis serta insiden Baharudin Ahmad, 59, yang meninggal dunia akibat terkena gas pemedih mata.
Salleh memberitahu, polis tidak melakukan sebarang kekerasan kepada para peserta sebaliknya bertindak mengikut prosedur yang ditetapkan (SOP).
Selain itu katanya, polis telah memberi layanan yang baik kepada peserta perhimpunan yang ditangkap. Salah satunya ialah menyediakan tempat yang selesa untuk diambil keterangan dan menjamu mereka makan.
"Kita terpanggil untuk menayangkan video tersebut sebagai bukti yang polis tidak bertindak kasar ketika perhimpunan tersebut.
"Sebaliknya, kita yang dikasari apabila ada pegawai polis yang terjatuh akibat dirempuh peserta terbabit dalam insiden di Stesen Sentral Kuala Lumpur," katanya.
No comments:
Post a Comment