Friday, July 22, 2011

SUHAKAM adakan siasatan awam dakwaan pelanggaran hak asasi manusia

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan mengadakan Siasatan Awam terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan haram 9 Julai lslu.

Naib Pengerusi SUHAKAM, Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee, berkata panel siasatan itu akan dipengerusikan oleh beliau dan dibantu Pesuruhjaya SUHAKAM, Profeaor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
SUHAKAM dalam satu kenyataan, berkata terma rujukan untuk Siasatan Awam itu ialah untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak sebelum dan ketika perhimpunan 9 Julai itu.
Beliau berkata, jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, siasatan itu juga akan menentukan bagaimana pelanggaran itu terjadi; apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran itu; individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran itu.

Siasatan juga akan mengesyorkan langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran itu tidak berulang, kata Dr Khaw.

"Sapina akan dikeluarkan pada masa yang sesuai kepada saksi-saksi yang berkaitan termasuk orang awam, media dan polis. Kuasa ini adalah menurut Seksyen 14(1)(a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia...," katanya.

SUHAKAM meminta orang ramai yang menyaksikan sebarang perbuatan atau insiden mengenai dakwaan-dakwaan itu, atau mereka yang memberikan maklumat yang berkaitan dan/atau dokumen serta bukti-bukti termasuk rakaman video atau gambar mengenai dakwaan itu supaya menghubungi suruhanjaya itu dengan segera.
Tarikh akhir untuk penyerahan awam ialah 2 Ogos ini. - BERNAMA
Berita Harian Online | SUHAKAM adakan siasatan awam dakwaan pelanggaran hak asasi manusia

No comments:

Post a Comment