Friday, July 22, 2011

Polis penyiasat ditambah

LONDON 21 Julai - Bilangan anggota polis yang ditugaskan untuk menyiasat skandal penggodaman telefon oleh akhbar News of the World milik Rupert Murdoch (gambar) ditingkatkan daripada 45 kepada 60 orang.

Timbalan Penolong Komisioner Polis Metropolitan (Met), Sue Akers berkata, langkah itu berikutan 'pertambahan beban kerja yang ketara' sejak dua minggu lalu.

Sebelum itu, ahli Parlimen Britain menuduh Met 'gagal melakukan pelbagai perkara' dalam siasatan berhubung penggodaman telefon di akhbar tabloid News of the World.

Syarikat induk News of the World, News International turut mengumumkan, ia memberi kebenaran kepada firma guaman, Harbottle & Lewis untuk menjawab sebarang soalan daripada Scotland Yard dan jawatankuasa hal-ehwal dalam negeri House of Commons mengenai khidmatnya untuk syarikat itu.

Menurut News International, sepucuk surat daripada firma guaman tersebut pada Mei 2007 menyebabkan ia percaya kegiatan menggodam 'sudah berlalu' dan hanya melibatkan seorang pemberita yang bertindak bersendirian.

Semasa perbahasan mengenai skandal penggodaman telefon di dewan House of Commons semalam, ahli Parlimen menggesa News International menyiarkan sepenuhnya komunikasi mengenai e-mel yang diperiksa oleh firma guaman itu.

Harbottle & Lewis sebelum itu berkata, ia dihalang daripada menjawab kenyataan 'tidak tepat' yang dibuat oleh Pengerusi News International, James Murdoch kerana syarikat itu tidak dibenarkan melanggar kewajipannya menjaga rahsia pelanggan. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment