MOHAMED NAZRI menunjukkan buku laporan kematian Beng Hock dikeluarkan suruhanjaya diraja kepada pihak media di Parlimen, semalam.
KUALA LUMPUR: Kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, dikenal pasti akibat bunuh diri kerana berasa terbeban dan tertekan dengan taktik soal siasat agresif, berterusan dan tidak wajar oleh tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain disokong perwatakan lemah mendiang.Keputusan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pada sidang media di Parlimen di sini, semalam.
Fakta membunuh diri itu disokong oleh kenyataan Profesor Emeritus Psikiatri Forensik dari Universiti Monash, Australia; Profesor Paul Edward Mullen yang dibawa oleh Majlis Peguam bahawa mendiang benar-benar membunuh diri berdasarkan perwatakannya yang bertukar daripada kumpulan berisiko terendah untuk membunuh diri kepada kumpulan berisiko tinggi selepas melalui sesi soal siasat agresif dan berlarutan.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu mendapati pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Beng Hock, sebaliknya bertujuan agar mendiang membuat pengakuan sebagai bukti supaya boleh menjadi saksi bagi kes penyelewengan penggunaan peruntukan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) itu.
Keputusan sebulat suara suruhanjaya itu diambil selepas menjalankan siasatan dan penyediaan laporan selama hampir lima bulan membabitkan 70 saksi, termasuk pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, pakar forensik dari dalam dan luar negara, ahli keluarga, majikan serta rakan mendiang.
Orang ramai boleh mendapatkan laporan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris itu di Ruang Legar Bangunan Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang JPM, Presint 3, Putrajaya, boleh didapati pada harga RM45 senaskhah, mulai jam 10 pagi ini.
Menurut laporan setebal 136 muka yang diedarkan kepada media semalam, suruhanjaya diraja mendapati Beng Hock didorong untuk membunuh diri berikutan soal siasat agresif, berlarutan dan menindas oleh pegawai SPRM tertentu yang terbabit dalam operasi dijalankan SPRM Selangor pada malam 15 Julai sehingga pagi 16 Julai 2009.
Alasan itu meliputi aspek patologi forensik membabitkan kronologi, masa kematian, kedudukan tubuh apabila ditemui, pola kecederaan, serta pakaian dan barang peribadi.
“Selepas mengambil kira keterangan secara menyeluruh mengenai aspek ini, kami berpendapat TBH (Beng Hock) jatuh dari tingkap di tingkat 14 Plaza Masalam pada pagi 16 Julai 2009 yang bertepatan di atas tempat mayatnya dijumpai,” menurut laporan itu.
Laporan bertarikh 15 Jun lalu itu ditandatangani Pengerusi Suruhanjaya Diraja itu, Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan empat ahlinya; Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Datuk Selventhiranathan Thiagarajah, Datuk Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh dan Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom. Laporan itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada 22 Jun lalu, sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mendiang Beng Hock, 30, adalah Setiausaha Politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor aras lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu pada 16 Julai 2009.
SPRM melakukan siasatan berikutan ada maklumat mendakwa ADUN Selangor daripada pakatan pembangkang terbabit dalam mengemukakan tuntutan palsu serta menggunakan peruntukan demi kepentingan parti politik dan bukan faedah orang ramai.
Beng Hock sepatutnya menjadi saksi utama SPRM yang menyiasat dakwaan penyelewengan itu membabitkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor daripada DAP.
Kematian mendiang mencetuskan kontroversi sehingga kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja pada 26 Januari lalu bagi menjalankan siasatan ke atas dua terma rujukan, iaitu sama ada berlaku sebarang perbuatan tidak wajar ketika pemeriksaan dijalankan ke atas Beng Hock dan membuat syor apa-apa tindakan sewajarnya di mana perlu, dan menyiasat kematian Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi serta menyumbang kepada kematiannya.
Beng Hock dilaporkan menjalani empat peringkat soal siasat dan tidak dapat menanggung keraguan, konflik emosi yang keterlaluan serta rasa bersalah yang mendalam, dan apabila putus harapan, mendiang berasa terjebak dan tewas kepada kekecewaan dan mendapati satu-satunya cara melepaskan diri daripada kesengsaraan itu ialah dengan melompat keluar dari tingkap walaupun itu bermakna mengambil nyawanya sendiri.
Tindakan pegawai SPRM mengambil telefon mudah alihnya yang menjadi alat paling kerap digunakan mendiang untuk meredakan tekanan, serta penyerahan komputer riba dan mendedahkan kata laluan akaun e-melnya kepada pegawai SPRM, memberi implikasi kepada mendiang.
“Kami mengambil maklum bahawa hubungan TBH (Beng Hock) dengan ketuanya, YB Ean, adalah mesra dan saling hormat-menghormati. Oleh itu, cubaan mengkhianati ketuanya menyebabkan tekanan kepada TBH. Ada juga faktor penyumbang lain seperti dinafikan hak untuk tidur, persekitaran tidak selesa dan asing, dan berada dalam tahanan bagi jangka masa panjang,” menurut laporan itu.
Suruhanjaya berkenaan menyatakan, perkara paling menyedihkan serta dikesali ialah operasi dijalankan oleh SPRM Selangor sudah menyebabkan kematian mendiang.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu mengiktiraf kepentingan SPRM sebagai agensi berwibawa dalam menangani rasuah serta salah guna kuasa dan berkeyakinan SPRM akan menjadi sebuah agensi penguat kuasa yang disegani dan diteladani pihak lain.
Artikel lain:
- SPRM teliti cadangan tambah baik siasatan
INFO
Kronologi siasatan kematian Teoh Beng Hock
2009- 16 Julai – Mayat Teoh Beng Hock ditemui jam 1.30 tengah hari di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam.
- 22 Julai – Kabinet memutuskan satu inkues diketuai seorang majistret bagi menentukan punca kematian.
- Suruhanjaya Diraja juga diwujudkan untuk meneliti dan mengkaji peraturan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
- 23 Julai – Laporan kematian mengejut Beng Hock difailkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk memohon tarikh sebutan inkues.
- 24 Julai - Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar (ketika itu) mengumumkan inkues kematian akan dilaksanakn selama 15 hari bermula 29 Julai.
- 29 Julai - Prosiding inkues bermula pada jam 9.20 pagi di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.
- 5 Ogos - Saksi pertama yang memberi keterangan adalah Siti Zabedah Yahaya, 41, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di bangunan Plaza Masalam.
- 19 Ogos - Mahkamah Koroner mengarahkan polis melakukan siasatan lanjut terhadap kandungan sepucuk surat misteri yang mengandungi butiran berkaitan kematian Beng Hock.
- 27 Oktober - Keluarga Beng Hock mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah membenarkan mayatnya dikeluarkan dari kubur untuk bedah siasat kedua.
- 21 November - Kubur Beng Hock digali semula dalam satu upacara yang diadakan di Taman Peringatan Nirvana di Semenyih untuk bedah siasat kali kedua.
2010- 4 November - Prosiding inkues menyiasat kematian berakhir.
2011- 5 Januari – Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau pembabitan pihak ketiga.
- 26 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong untuk menyiasat kematian Beng Hock serta perjalanan siasatan oleh SPRM.
- 14 Februari – Suruhanjaya memulakan prosiding.
- 16 Februari – Keluarga Beng Hock menarik diri daripada terus menyertai prosiding suruhanjaya bagi menyiasat kematian anaknya.
- 10 Mei – Prosiding suruhanjaya berakhir dengan 70 saksi memberi keterangan. Saksi terakhir adalah pakar perunding forensik psikiatri, Dr Ba'diah Yahya.
- 27 Mei – SPRM menyerahkan dokumen hujahan bertulis setebal 344 muka surat kepada Suruhanjaya Diraja Siasatan Kematian Beng Hock.
- 22 Jun – Suruhanjaya menyerahkan laporan hasil siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu.
- 21 Julai – Laporan suruhanjaya setebal 124 muka surat dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu diumumkan.
- 16 Julai – Mayat Teoh Beng Hock ditemui jam 1.30 tengah hari di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam.
No comments:
Post a Comment