Friday, July 22, 2011

Dua beradik parah disimbah asid



MARAN - Dua beradik cedera parah akibat disimbah asid dipercayai cuka getah oleh seorang lelaki yang juga jiran mereka dalam satu kejadian di Felda Kesumba Jengka 9 dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi,13, dan adiknya Shafiq Aiman,10, cedera parah di muka, mata dan badan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, Shafiq Haikal cedera parah di badan dan di sebelah muka kiri manakala adiknya cedera seluruh muka dan mata dibawa di Hospital Jengka sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek yang berusia lingkungan 30-an berjaya ditahan dan reman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, semalam.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika dua beradik itu sedang menunggang basikal ke rumah kawannya untuk belajar secara kumpulan.

“Ketika sampai di tempat kejadian, suspek bertindak menyimbah asid ke arah mereka menyebabkan dua beradik itu melecur teruk,” katanya.

Ahmad Johari berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang termasuk mendakwa suspek di mahkamah kerana perbuatan jenayah yang dilakukan serius.

Ibu saudara mangsa, Zafrida Che Sham, 41, berkata, mangsa yang baru selesai mengaji al-Quran mengajak adiknya ke rumah kawan untuk belajar secara kumpulan.

Menurutnya, ketika sampai di hadapan rumah lelaki itu, suspek dipercayai bertindak menyimbah sejenis cecair dipercayai asid ke arah mangsa

“Lelaki itu jarang-jarang dilihat sebelum ini mungkin baharu pulang bercuti di kampung,” katanya.

Sementara itu, Siti Aishah Rohaisha Hanafi, 28, berkata, dia segera menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Jengka dalam keadaan yang `berasap` akibat tindak balas asid pada kulit.
SH

No comments:

Post a Comment