Friday, July 22, 2011

Bunuh diri

KUALA LUMPUR: Kematian Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam, Shah Alam disebabkan membunuh diri dan bukan dibunuh. Itu antara laporan Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian pembantu khas Exco kerajaan negeri Selangor itu yang diumumkan semalam.

Selepas menjalankan siasatan dan penyediaan laporan lima bulan, suruhanjaya dipengerusikan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang ditauliahkan pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2011, menyediakan laporan penuh setebal 136 muka surat kepada baginda 22 Jun lalu.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika mengumumkan hasil laporan itu semalam berkata, suruhanjaya mendapati pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada niat dan sebab untuk membunuh Teoh, sebaliknya mahu mendiang membuat pengakuan supaya boleh menjadi saksi bagi kes penyelewengan wang yang disiasat. “Fakta bunuh diri itu turut disokong testimoni pakar psikiatri forensik yang diambil berkhidmat dengan Majlis Peguam Malaysia, Profesor Paul Edward Mullen yang menyatakan perwatakan mendiang bertukar daripada kumpulan berisiko rendah bagi pembunuhan diri kepada kumpulan berisiko tinggi.

“Perubahan itu berlaku selepas melalui sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan. Oleh itu, mendiang bukan dibunuh orang lain,” katanya dalam sidang media di Parlimen, di sini. Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.


Sepanjang tempoh lima bulan melakukan siasatan dan menyediakan laporan, 70 saksi dipanggil termasuk pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, pakar forensik dari dalam dan luar negara, ahli keluarga, majikan serta rakan mendiang bagi mendapatkan keterangan.


Mohamed Nazri berkata, suruhanjaya berkenaan diamanah menjalankan siasatan ke atas dua terma rujukan iaitu menyiasat sama ada berlakunya apa-apa perbuatan tidak wajar semasa pemeriksaan dijalankan ke atas Teoh dan membuat syor bagi tindakan sewajarnya di mana perlu.

“Hasil siasatan mendapati tiga pegawai penyiasat terbabit dalam kes ini menggunakan taktik soal siasat berterusan, agresif dan tidak wajar ke atas mendiang yang didapati melanggar prosedur sedia ada.

“Suruhanjaya juga mengusulkan supaya SPRM meneliti dan mengambil tindakan penambahbaikan dalam beberapa aspek seperti kelayakan masuk ke perkhidmatan dan latihan pegawai, infrastruktur dan kemudahan asas pejabat dan kajian semula prosedur sedia ada supaya lebih mantap dan berkesan,” katanya.

Menurutnya, terma rujukan kedua ialah untuk menyiasat kematian mendiang dan keadaan menyelubungi serta menyumbang kepada kematiannya.


“Beng Hock sepatutnya menjadi saksi utama SPRM yang menyiasat dakwaan berkenaan membabitkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor daripada DAP. Siasatan berkenaan memberikan tekanan kepada mendiang untuk membuat pengakuan sebagai bukti,” katanya.


Beliau meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu itu dan memutarbelitkan fakta selain menerima hasil laporan suruhanjaya berkenaan demi menghormati keluarga mendiang.


“Saya ingin maklumkan keputusan ini dicapai sebulat suara dan kerajaan memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas pegawai berkaitan yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan serta undang-undang sedia ada,” katanya.


Menjawab soalan kemungkinan keluarga mendiang tidak berpuas hati dengan laporan suruhanjaya itu, Mohamed Nazri berkata, sekiranya mana-mana pihak mempunyai cadangan lain yang berkaitan, pihak terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya.


“Ini negara bebas, kalau ada cadangan apa-apa, kami akan lihat. Kalau tak puas hati dan perkara itu mengikut undang-undang, mereka boleh ambil tindakan (beri cadangan). Kalau ada bukti mencukupi, kami akan teruskan,” katanya.


Orang ramai boleh mendapatkan laporan yang disediakan dalam bahasa Melayu dan Inggeris daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dengan harga RM45 senaskhah bermula jam 10 pagi hari ini.

myMetro | Bunuh diri

No comments:

Post a Comment