BANGUNAN Plaza Masalam Shah Alam.
Pertingkat tanggungjawab banteras jenayah rasuahPUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti cadangan dan saranan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang diumumkan semalam untuk menambahbaik pelbagai aspek dalam badan itu.SPRM dalam satu kenyataannya di sini, juga berkata pihaknya menerima keputusan suruhanjaya berkenaan secara terbuka dan sudah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan kes.
Ia akan terus menggalas tanggungjawab yang diamanahkan untuk membanteras jenayah rasuah dan memastikan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat dan negara.
Bagaimanapun, katanya, sehingga semalam SPRM belum menerima laporan suruhanjaya diraja berkenaan.
"SPRM akan berusaha mendapatkan laporan penuh apabila ia dijual kepada umum esok (hari ini)," katanya.
Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low ketika ditemui di sini berkata, semua pihak perlu menerima dengan terbuka keputusan suruhanjaya itu yang mendapati mendiang membunuh diri.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat oleh panel yang berpengalaman dan berwibawa yang dipilih untuk menyiasat kematian Beng Hock.
"Kita harus percaya dan menerima keputusan suruhanjaya siasatan kerana panelnya terdiri daripada mereka yang mempunyai integriti," katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Bengkel Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM), di sini semalam.
Paul berkata, SPRM juga perlu merombak prosedur soal siasatnya bagi memastikan peristiwa sama tidak berulang pada masa depan.
"Jika itu keputusan suruhanjaya siasatan, ini bermakna SPRM perlu merombak cara mereka menjalankan soal siasat supaya lebih profesional dan dijalankan dengan cara yang betul," katanya.
No comments:
Post a Comment