Friday, July 22, 2011

Australia rancang saman bekas banduan Guantanamo Bay

ROYALTI BUKU
SYDNEY: Kerajaan Australia bersedia mengemukakan saman terhadap bekas tahanan penjara Guantanamo Bay, David Hicks, di atas royalti jualan buku autobiografinya.

Kutipan penjualan buku itu didakwa adalah hasil kegiatan jenayah.

Hicks ditangkap di Afghanistan selepas serangan 11 September 2001 dan meringkuk selama lima tahun setengah di penjara di Guantanamo Bay sebelum disabitkan kesalahan oleh suruhanjaya ketenteraan kerana menyokong pengganasan.

Hicks merupakan tahanan pertama yang didakwa oleh tribunal jenayah itu yang dibentuk bagi membicarakan tahanan bukan warga Amerika.

Dia diesktradisi ke Australia pada April 2007 dan menghabiskan masa sembilan bulan dalam penjara.

Hicks kemudian dibebaskan dengan syarat ketat iaitu perlu melapor diri pada polis dan tidak dibenarkan memberi sebarang temu ramah selama setahun.

Hicks, 35 tahun, kini menetap di Sydney dan telah menghasilkan sebuah buku autobiografi yang menceritakan secara terperinci pengalaman di Guantanamo Bay di Cuba dari 2001 hingga 2007.

Dalam buku itu, Guantanamo, My Journey, dia mendedahkan latihan tentera yang dilalui di Afghanistan dan Pakistan serta penglibatannya dalam konflik di Kosovo dan Kashmir.

Namun, Hicks mendakwa dia dijadikan 'kambing hitam' dan dia tidak pernah mempunyai niat melancarkan serangan pengganas.

Sebelum ini, Hicks mengaku telah bertemu dengan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.

Dilaporkan, sebanyak 30,000 naskhah buku itu dijual.

Menurut jurucakap kerajaan, kes itu akan didengar di Mahkamah Agung New South Wales pada 3 Ogos ini.

Di bawah undang-undang Australia, seseorang itu dilarang meraih keuntungan daripada kesalahan jenayah.

Seorang lagi warga Australia, Mamdouh Habib, telah dibebaskan dari penjara Guantanamo Bay, tanpa didakwa, pada 2005.

Australia merupakan anggota awal pakatan tentera antarabangsa pimpinan Amerika yang menceroboh Iraq pada 2003 dan Afghanistan selepas serangan 11 September 2001 ke atas Amerika. -- AFP, Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment