Friday, July 22, 2011

William, isteri dapat ganti rugi

Terima £200 sistem hiburan pesawat rosak

LONDON: Putera William dan isterinya, Catherine menerima pampasan £200 (RM966) berikutan sistem hiburan dalam pesawat British Airways (BA) rosak ketika dalam perjalanan pulang dari lawatan rasmi di Amerika.
Duke dan Duchess of Cambridge yang duduk di kerusi berharga £5000 (RM24,166) seorang, diberi baucer yang boleh digunakan dalam penerbangan masa akan datang sebagai menggantikan kos kegagalan mereka menonton filem dan hiburan sepanjang lawatan luar negara kali pertama sebagai pasangan diraja, lapor Daily Mirror kelmarin.
Sumber memberitahu akhbar, “Keseluruhan kelas pertama termasuk pasangan diraja itu agak kesal tetapi mereka ditenangkan dengan tawaran BA itu. Tetapi, 10 jam tanpa hiburan dalam pesawat adalah sesuatu yang sukar”.

Jurucakap BA berkata, “Malangnya, ada kerosakan berlaku pada bahagian sistem hiburan dalam pesawat yang tidak boleh diperbaiki sebelum penerbangan berlepas dari Los Angeles.

“Kami memohon maaf kepada mereka yang terbabit dan menawarkan sama ada baucer atau nilai batuan untuk menyuarakan rasa kesal”.

Mereka terlepas menonton wayang termasuk The Fighter lakonan Christian Bale, The Tourist lakonan Angelina Jolie dan filem animasi Gnomeo and Juliet.
Dalam perkembangan sama, akhbar Express.co.uk yang memetik sumber diraja melaporkan William dan isterinya dengan sopan menolak pemberian ganti rugi itu selepas diminta mengisi nama dan alamat penuh untuk melayakkan mereka menerima pampasan itu.

Malah, sepanjang perjalanan 10 jam itu, pasangan itu menghabiskan masa dengan tidur.

Pasangan itu ditemani tujuh pembantu dan empat polis pengawal peribadi menaiki penerbangan BA di Los Angeles pada 10 Julai selepas mengakhiri lawatan 11 hari di Kanada dan California, dengan membeli tiket sehala Kelas Pertama berharga £5000 yang dibiayai pembayar cukai. – Agensi
Berita Harian Online | William, isteri dapat ganti rugi

No comments:

Post a Comment