Sunday, August 28, 2011

KELEBIHAN SAIDINA ABU BAKR AL-SIDDIQ R.A



Ustaz Dr Udah Mohsin
Masjid al-Istiqamah Sg Merab


Ayat-ayat al-Quran mengenai kelebihan Saidina Abu Bakr r.a.
Antaranya:
Firman Allah :

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى (5) وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى (6) فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى (7) } [الليل : 5 - 8]

Bermaksud: Adapun orang yang memberi dan bertakwa dan memperakui kebenaran dengan perkara yang baik maka Kami memudahkannya untuk mendapat kesenangan (syurga).

adalah diturunkan kepada Saidina Abu Bakr. Saidina Abu Bakr memerdekakan orang-orang yang telah masuk Islam dari kalangan orang-orang yang lemah dan wanita. (Ibn Kathir 1999, 8: 420-421.).

Firman Allah:

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (40) } [التوبة : 40]

Bermaksud : Jika kamu tidak menolongnya maka Allah telah menolongnya ketika dia dikeluarkan oleh mereka yang kafir, keadaannya berdua, ketika kedua-duanya dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Jangan engkau berduka cita kerana bahawasanya Allah berserta kita, lalu Allah turunkan ketenangan-Nya ke atasnya, dan Allah bantu dengan beberapa ramai tentera yang kamu tidak dapat melihatnya, Allah jadikan seruan mereka yang kafir adalah rendah dan seruan Allah adalah yang tinggi, Allah adalah Yang Maha mulia lagi Maha bijaksana.

adalah juga diturunkan kepada Saidina Abu Bakr. (Ibn Kathir 1999, 8: 421). Dalam keadaan yang amat genting ini orang yang diajak menjadi teman oleh Rasulullah s.a.w. ialah Saidina Abu Bakr. Ini menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakr itu mempunyai kedudukan yang amat tinggi di sisi Rasulullah s.a.w.yang tidak terdapat pada orang lain.

Firman Allah:

{ وَسَيُجَنَّبُهَا الْأَتْقَى (17) الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّى (18) وَمَا لِأَحَدٍ عِنْدَهُ مِنْ نِعْمَةٍ تُجْزَى (19) إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَى (20) وَلَسَوْفَ يَرْضَى } [الليل : 17 - 21]
Bermaksud: Dan akan dijauhkan api neraka orang yang sungguh bertakwa. Yang memberikan hartanya dengan tujuan untuk membersihkan dirinya. Sedangkan dia tidak menanggung budi sesiapa pun yang patut dibalas. Kecuali hanya semata-mata untuk mendapat keredhaan Tuhannya yang Maha tinggi. Dan sesungguhnya dia akan redha.

Kata Ibn Kathir: Ramai dari kalangan ahli tafsir menyebut ayat ini diturunkan kepada Saidina Abu Bakr. Tidak syak lagi dia adalah termasuk padanya. (Ibn Kathir 1999, 8: 422).

Jika di atas tadi adalah ayat-ayat al-Quran mengenai kelebihan Saidina Abu Bakr yang berbentuk khusus, maka di sana terdapat beberapa ayat al-Quran mengenai kelebihan para sahabat Rasululah s.a.w. secara umum yang dengan sendirinya termasuk kelebihan Saidina Abu Bakr. Dalam tulisan ini penulis hanya membawa satu contoh sahaja dari beberapa nas al-Quran yang banyak.

Firman Allah:

{وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (100)} [التوبة : 100]

Bermaksud: Mereka yang terdahulu lagi awal, dari kalangan Muhajirin dan Ansar dan orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan sebaik-baiknya Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah. Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai dari bawahnya, mereka kekal didalamnya selama-lama, yang demikian itu adalah kejayaaan yang amat besar.

Mereka yang terdahulu lagi awal ini, sudah jelas termasuk dari segi memeluk Islam. Dalam ayat di atas jelas Allah memuji sahabat-sahabt Rasulullah s.a.w. yang terdahulu lagi awal masuk islam dari kalangan muhajirin dan ansar, Allah redha kepada mereka, dan mereka redha kepada Allah, dan Allah sediakan bagi mereka syurga-syurga, mereka kekal di dalamnya, selama-lama, itu adalah kejayaaan yang amat besar. Sahabat-sahabat Rasulullah yang awal masuk Islam dari kalangan muhajirin dan ansar adalah jelas termasuk Saidina Abu Bakr. Dengan sendirinya Saidina Abu Bakr adalah orang yang diredhai oleh Allah, Allah masukkannya ke dalam syurga-Nya.

Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. mengenai kelebihan Saidina Abu Bakr r.a.`.
Di antaranya:

عن أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقَ حَدَّثَهُ قَالَ
نَظَرْتُ إِلَى أَقْدَامِ الْمُشْرِكِينَ عَلَى رُءُوسِنَا وَنَحْنُ فِي الْغَارِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ أَنَّ أَحَدَهُمْ نَظَرَ إِلَى قَدَمَيْهِ أَبْصَرَنَا تَحْتَ قَدَمَيْهِ فَقَالَ يَا أَبَا بَكْرٍ مَا ظَنُّكَ بِاثْنَيْنِ اللَّهُ ثَالِثُهُمَا
(صحيح مسلم، فضائل الصحابة رضى الله عنهم، بَاب مِنْ فَضَائِلِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ)
Bermaksud: Daripada Anas bin Malik bahawasanya Abu Bakr al-Siddiq menyampaikan kepadanya katanya: Aku melihat kaki-kaki orang musyrikin berada di atas kepala kami ketika kami berada dalam gua, maka aku berkata, wahai Rasulullah! Kalaulah seorang daripada mereka melihat ke arah kedua kakinya necaya dia akan melihat kami, jawab Baginda: Wahai Abu Bakr! Apa yang engkau sangka berdua , Allah adalah yang ketiganya.

Nas di atas menunjukkan bahawa di waktu yang amat genting ini yang diajak oleh Rasulullah sebagai temannya ialah Saidina Abu Bakr.

Nas yang lain:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ
خَطَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ خَيَّرَ عَبْدًا بَيْنَ الدُّنْيَا وَبَيْنَ مَا عِنْدَهُ فَاخْتَارَ مَا عِنْدَ اللَّهِ فَبَكَى أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقُلْتُ فِي نَفْسِي مَا يُبْكِي هَذَا الشَّيْخَ إِنْ يَكُنْ اللَّهُ خَيَّرَ عَبْدًا بَيْنَ الدُّنْيَا وَبَيْنَ مَا عِنْدَهُ فَاخْتَارَ مَا عِنْدَ اللَّهِ فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هُوَ الْعَبْدَ وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ أَعْلَمَنَا قَالَ يَا أَبَا بَكْرٍ لَا تَبْكِ إِنَّ أَمَنَّ النَّاسِ عَلَيَّ فِي صُحْبَتِهِ وَمَالِهِ أَبُو بَكْرٍ وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلًا مِنْ أُمَّتِي لَاتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ وَلَكِنْ أُخُوَّةُ الْإِسْلَامِ وَمَوَدَّتُهُ لَا يَبْقَيَنَّ فِي الْمَسْجِدِ بَابٌ إِلَّا سُدَّ إِلَّا بَابُ أَبِي بَكْرٍ
(صحيح البخاري، فضائل أصحاب النبى صلى الله عليه وسلم، بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُدُّوا الْأَبْوَابَ إِلَّا بَابَ أَبِي بَكْرٍ)

Bermaksud: Daripada Abu Sa`id al-Kudri katanya, Nabi s.a.w. berkhutbah, sabdanya: Bahawasanya Allah memberi pilihan kepada seorang hamba di antara dunia dan di antara apa yang ada di sisi Allah maka hamba itu memilih apa yang ada di sisi Allah, lalu Abu Bakr al-Siddiq r.a. menangis maka aku berkata kepada diriku apakah yang menjadikan orang tua ini menangis? Jika Allah memberi pilihan kepada seorang hamba di antara dunia dan di antara apa yang ada di sisi Allah maka hamba itu memilih apa yang ada di sisi Allah. Rasulullah s.a.w. adalah hamba itu. Abu Bakr adalah orang yang paling mengetahuinya. Sabdanya: Wahai Abu Bakr! jangan engkau menangis. Bahawasanya orang yang paling aman kepadaku pada persahabatan dan hartanya ialah Abu Bakr. Sekiranya aku hendak mengambil orang yang paling aku cintai dari kalangan umatku nescaya aku mengambil Abu Bakr, tetapi dia adalah saudara dan kasih sayang Islam. Tidak ada tinggal di masjid satu pintu pun kecuali mesti di sumbat kecuali pintu Abu Bakr.

Di antar kandungan hadith di atas ialah bahawa Rasulullah s.a.w. amat kasih kepada Saidina Abu Bakr r.a.`. Rasulullah s.a.w merasa amat senang bersahabat dengannya, dan Rasulullah s.a.w. amat senang dengan hartanya.
Nas yang lain:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا مِنْ أَهْلِ الْأَرْضِ خَلِيلًا لَاتَّخَذْتُ ابْنَ أَبِي قُحَافَةَ خَلِيلًا وَلَكِنْ صَاحِبُكُمْ خَلِيلُ اللَّهِ
(صحيح مسلم، فضائل الصحابة رضى الله عنهم، بَاب مِنْ فَضَائِلِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ)
المراد بصاحبكم هو رسول الله

Bermaksud: Daripada Abd Allah Daripada Nabi s.a.w. sabdanya: Jika aku mengambil dari kalangan penduduk bumi sebagai kekasih necaya aku mengambil anak Abu Qahafah (Saidina Abu Bakr) sebagai kekasih, tetapi sahabat kamu (Nabi s.a.w.) adalah kekasih Allah.

Hadith di atas menunjukkan betapa sayangnya Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Abu Bakr.
Nas yang lain:

عَنْ أَبِي عُثْمَانَ قَالَ حَدَّثَنِي عَمْرُو بْنُ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَهُ عَلَى جَيْشِ ذَاتِ السُّلَاسِلِ فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيْكَ قَالَ عَائِشَةُ فَقُلْتُ مِنْ الرِّجَالِ فَقَالَ أَبُوهَا قُلْتُ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ فَعَدَّ رِجَالًا
(صحيح البخاري، فضائل أصحاب النبى صلى الله عليه وسلم، بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً)

Bermaksud: Daripada Abu Uthman katanya, Umrw bin al-`As r.a. menyampaikan kepadaku bahawa Nabi s.a.w. mengutusnya untuk memerangi tentera di Dhat al-Salasil maka aku pun pergi mememui Baginda, maka aku berkata, siapakah orang yang paling engkau kasihi? Jawab baginda: Aisah, maka kataku, dari kalangan lelaki? Jawab baginda, bapanya. Kataku, kemudian siapa? Jawab Baginda, Umar bin al-Khattab, kemudian Baginda menyebut beberapa orang.

Hadith di atas adalah jelas bahawa Saidina Abu Bakr adalah lelaki yang paling di sayangi oleh Rasulullah s.a.w.
Nas yang lain:

عَنْ قَتَادَةَ أَنَّ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حَدَّثَهُمْ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَعِدَ أُحُدًا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَعُثْمَانُ فَرَجَفَ بِهِمْ فَقَالَ اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ وَصِدِّيقٌ وَشَهِيدَانِ
(صحيح البخاري، فضائل أصحاب النبى صلى الله عليه وسلم، بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً)

Bermaksud: Daripada Qatadah, bahawa Anas bin Malik r.a. menyampaikan kepada mereka, bahawa Nabi s.a.w., Abu Bakr, Umar dan Uthman memanjat gunung Uhud, lalu gunung itu bergerak, maka Nabi bersabda: Tetaplah wahai gunung Uhud! maka sesungguhnya di atas engkau adalah Nabi, Siddiq, dan dua orang shuhada’.

Nas di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. menggelarkan Saidina Abu Bakr sebagi siddiq iaitu orang yang sangat bersifat benar.
Nas yang lain:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
إِنِّي لَوَاقِفٌ فِي قَوْمٍ فَدَعَوْا اللَّهَ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَقَدْ وُضِعَ عَلَى سَرِيرِهِ إِذَا رَجُلٌ مِنْ خَلْفِي قَدْ وَضَعَ مِرْفَقَهُ عَلَى مَنْكِبِي يَقُولُ رَحِمَكَ اللَّهُ إِنْ كُنْتُ لَأَرْجُو أَنْ يَجْعَلَكَ اللَّهُ مَعَ صَاحِبَيْكَ لِأَنِّي كَثِيرًا مَا كُنْتُ أَسْمَعُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُنْتُ وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَفَعَلْتُ وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَانْطَلَقْتُ وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ فَإِنْ كُنْتُ لَأَرْجُو أَنْ يَجْعَلَكَ اللَّهُ مَعَهُمَا فَالْتَفَتُّ فَإِذَا هُوَ
عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ
(صحيح البخاري، فضائل أصحاب النبى صلى الله عليه وسلم، بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً)

Bermaksud: Daripada Ibn Abbas r.a. katanya, aku berdiri bersama-sama orang ramai di tengah-tengah mereka, lalu mereka berdoa untuk Umar ketika itu dia sedang diletakkan ke dalam keranda, tiba-tiba terdapat seorang lelaki dari belakangku dia meletakkan sikunya di atas bahuku dengn berkata, Allah merahmati engkau, aku berharap bahawa Allah menjadikan engkau bersama-sama dua orang sahabatmu (Abu Bakr dan Umar) kerana banyak aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku, Abu Bakr dan Umar, aku, Abu Bakr dan Umar membuat, aku Abu Bakr dan Umar pergi, aku berharap bahawa Allah menjadikan engkau berserta kedua-duanya maka aku pun berpaling tiba-tiba dia adalah Ali bin Abu Talib.

Nas di atas menunjukkan betapa tingginya kedudukkan Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar di sisi Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dinyatakan oleh Saidina Ali r.a.
Nas yang lain:

عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ قَالَ سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو
عَنْ أَشَدِّ مَا صَنَعَ الْمُشْرِكُونَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَأَيْتُ عُقْبَةَ بْنَ أَبِي مُعَيْطٍ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يُصَلِّي فَوَضَعَ رِدَاءَهُ فِي عُنُقِهِ فَخَنَقَهُ بِهِ خَنْقًا شَدِيدًا فَجَاءَ أَبُو بَكْرٍ حَتَّى دَفَعَهُ عَنْهُ فَقَالَ
{ أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَنْ يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ وَقَدْ جَاءَكُمْ بِالْبَيِّنَاتِ مِنْ رَبِّكُمْ }
(صحيح البخاري، فضائل أصحاب النبى صلى الله عليه وسلم، بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً)

Bermaksud: Daripada `Urwah bin al-Zubayr katanya, aku bertanya Abd Allah bin `Amrw mengenai apa yang paling teruk dilakukan oleh orang musyrikin terhadap Rasulullah s.a.w., maka jawabnya: Aku melihat `Uqbah bin Abu Mu`it datang kepada Nabi s.a.w. ketika itu Baginda sedang sembahyang, lalu dia meletakkan selindangnya pada tengkok Baginda, kemudian dia mencekik Baginda dengan sekuat-kuatnya, maka datang Abu Bakr dan menolaknya seraya berkata: Adakah engkau hendak membunuh seorang lelaki yang berkata: Tuhanku adalah Allah, sedangkan dia telah membawakan kepada kamu bukti-bukti kebenaran yang jelas daripada Tuhan kamu.

Nas di atas menunjukkan betapa sayangnya Saidina Abu Bakr r.a. kepada Rasulullah s.a.w.
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya, Fath al-Bari ada menyebut kisah Saidina Abu Bakr ini daripada Muhammad bin Ali. (Saidina Ali r.a.). Beliau (Saidina Ali). berkata: Siapakah orang yang paling berani? Orang ramai menjawab, engkau, kata Saidina Ali aku tidak berlawan dengan seorang kecuali aku mengalahkannya. Tetapi yang paling berani adalah Abu Bakr, aku telah melihat Rasulullah s.a.w. dikeromon oleh orang Quraysh, ada yang menolaknya dan ada yang menariknya dengan keras. Mereka berkata kepada Rasulullah: Engkau hendak menjadikan tuhan yang banyak itu hanya kepada satu sahaja. Kata Saidina Ali: Demi Allah tidak ada orang yang hampir dari kalangan kami kecuali Abu Bakr, dia memukul ini dan menolak ini, sambil berkata: Celaka kamu, adakah kamu hendak membunuh seorang lelaki yang berkata, Tuhanku adalah Allah. Kemudian Ali menangis, kemudian berkata …Adakah orang yang beriman di kalangan keluarga Fir`awn lebih afdhal atau Abu Bakr lebih afdhal, orang ramai diam, maka kata Ali: Demi Allah satu saat daripada Abu Bakr adalah lebih baik daripadanya. Keluarga Fir`awn menyembunyaikan imannya, sedangkan ini (Abu Bakr) menzahirkan keimanannya.

Nas di atas menunjukkan betapa Saidina Abu Bakr amat sayang kepada Rasulullah dan mempertahankan Rasulullah dari musuh-musuhnya.
Nas yang lain:

يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا أَبُو بَكْرٍ يَسْتَأْذِنُ فَقَالَ ائْذَنْ لَهُ وَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ فَأَقْبَلْتُ حَتَّى قُلْتُ لِأَبِي بَكْرٍ ادْخُلْ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُبَشِّرُكَ بِالْجَنَّةِ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ فَجَلَسَ عَنْ يَمِينِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
(صحيح البخاري، فضائل أصحاب النبى صلى الله عليه وسلم، بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً)

Bermaksud: Wahai Rasulullah ini adalah Abu Bakr meminta izin maka jawab Baginda izinkan untuknya dan gembirakan kepadanya dengan syurga, maka aku datang dan aku berkata kepada Abu Bakr, masuklah, Rasulullah memberi berita gembira kepada engkau dengan syurga, maka Abu Bakr pun masuk lalu dia duduk di kanan Rasulullah s.a.w.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ
(صحيح مسلم، فضائل الصحابة رضى الله عنهم، بَاب مِنْ فَضَائِلِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ)

Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapakah yang adalah dia pada hari ini berpuasa? Abu Bakr menjawab, saya. Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapkah yang pada hari ini mengiringi jenazah? Abu Bakr menjawab, saya. Rasulullah bersabda: Siapakah dari kalangan kamu yang pada hari ini memberi makan orang miskin? Jawab Abu Bakr, saya. Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah yang menziarahi orang sakit pada hari ini? Jawab Abu Bakr, saya. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada berhimpun perkara-perkara itu kepada seseorang kecuali dia masuk syurga.

Hadith di atas menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakr itu merupakan orang melakukan segala bentuk kebaikan. Dengan ini balasannya adalah syurga.
Nas yang lain:

أنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ مِنْ شَيْءٍ مِنْ الْأَشْيَاءِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ دُعِيَ مِنْ أَبْوَابِ يَعْنِي الْجَنَّةَ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصِّيَامِ وَبَابِ الرَّيَّانِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ مَا عَلَى هَذَا الَّذِي يُدْعَى مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ وَقَالَ هَلْ يُدْعَى مِنْهَا كُلِّهَا أَحَدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ يَا أَبَا بَكْرٍ
(صحيح البخاري، فضائل أصحاب النبى صلى الله عليه وسلم، بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً)

Bermaksud: Bahawasanya Abu Hurayrah berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang membelanjakan sesuatu pada jalan Allah kepada dua orang suami isteri dia diseru dari pintu-pintu syurga: Wahai hamba Allah! Ini adalah baik. Sesiapa yang adalah dia dari kalangan ahli sembahyang maka dia akan diseru dari pintu sembahyang, dan sesiapa yang adalah dia dari ahli jihad dia akan diseru dari pintu jihad, dan sesiapa yang adalah dia dari ahli sedakah dia akan diseru dari pintu sedekah, dan sesiapa yang adalah dia dari ahli puasa dia akan diseru dari pintu rayyan. Saidina Abu Bakr berkata orang yang diseru dari salah satu dari pintu-pintu ini tidak sukar baginya, katanya: Adakah terdapat seseorang yang diseru dari semua pintu-pintu itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Ya, aku harap engkau adalah salah seorang dari mereka.
Harapan daripada Rasulullah adalah doa dari Baginda yang yakin diterima Allah. Dengan itu para ulama mentafsirkannya dengan yakin. Di antara kandungan hadith di atas menunjukkan bahawa Saidian Abu Bakr r.a. akan dipangil masuk syurga dari semu pintu-pintu syurga.
Nas yang lain:

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
قَالَ لَمَّا تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَفَرَ مَنْ كَفَرَ مِنْ الْعَرَبِ فَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَيْفَ تُقَاتِلُ النَّاسَ وَقَدْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ فَمَنْ قَالَهَا فَقَدْ عَصَمَ مِنِّي مَالَهُ وَنَفْسَهُ إِلَّا بِحَقِّهِ وَحِسَابُهُ عَلَى اللَّهِ فَقَالَ وَاللَّهِ لَأُقَاتِلَنَّ مَنْ فَرَّقَ بَيْنَ الصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ فَإِنَّ الزَّكَاةَ حَقُّ الْمَالِ وَاللَّهِ لَوْ مَنَعُونِي عَنَاقًا كَانُوا يُؤَدُّونَهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَاتَلْتُهُمْ عَلَى مَنْعِهَا
قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَوَاللَّهِ مَا هُوَ إِلَّا أَنْ قَدْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَعَرَفْتُ أَنَّهُ الْحَقُّ
صحيح البخاري - (5 / 205)

Bermaksud: Bahawasanya Abu Hurayrah r.a. berkata: Apabila Rasulullah s.a.w. wafat, dan adalah Abu Bakr r.a. menjadi khalifah dan kafirlah orang yang menjadi kafir dari kalangan orang Arab, maka Umar pun berkata: Bagimana engkau hendak memrangi manusia? Sedangkan Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Maka sesiapa yang mengucapkannya maka dia telah terselamat dariku harta dan dirinya, kecuali dengan hak kalimah tersebut, perkiraannya pada (perkara yang tersembunyi) adalah kepada Allah. Jawab Abu Bakr: Demi Allah aku akan perangi orang yang memisahkan di antara sembahyang dengan zakat, maka bahawasanya zakat itu hak harta. Demi Allah, jika mereka menegah dari memberikan kepada aku anak unta yang mereka berikannya kepada Rasulullah s.a.w. nescaya aku akan memerangi mereka, kerana mereka menegah dari memberikannya. Maka Umar pun berkata: Demi Allah bahawa Allah telah melapangkan dada Abu Bakr r.a. dan aku mengetahui bahawa dia adalah benar.

Nas di atas menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakr itu adalah merupakan seorang yang tegas dan benar-benar mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Nas yang lain:

عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ
مَرِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاشْتَدَّ مَرَضُهُ فَقَالَ مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ قَالَتْ عَائِشَةُ إِنَّهُ رَجُلٌ رَقِيقٌ إِذَا قَامَ مَقَامَكَ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُصَلِّيَ بِالنَّاسِ قَالَ مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ فَعَادَتْ فَقَالَ مُرِي أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ فَإِنَّكُنَّ صَوَاحِبُ يُوسُفَ فَأَتَاهُ الرَّسُولُ فَصَلَّى بِالنَّاسِ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
صحيح البخاري، - (3 / 78)

Bermaksud: Daripada Abu Musa r.a. katanya, Nabi s.a.w. sakit, dan bersangatan sakit Baginda, maka sabda Baginda: Kamu hendaklah menyuruh Abu Bakr supaya dia sembahyang mengimami orang ramai, Aisah menjawab, bahawasanya Abu Bakr adalah seorang yang lembut hati apabila dia mengganti tempatmu dia tidak dapat sembahyang mengimami orang ramai, maka jawab Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu menyuruh Abu Bakr sembahyang mengimami orang ramai maka Aisah mengulangi apa yang dikatanya, maka sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah engkau wahai Aishah menyuruh Abu Bakr sembahyang menjadi imam kepada orang ramai, sesungguhnya kamu ( kaum wanita) adalah sayahaib Yusuf ( Bersungguh-sungguh pada yang dia kehendaki) maka datanglah seorang utusan kepada Abu Bakr, lalu dia sembahyang menjadi imam kepada orang ramai.

Hadith di atas adalah menjadi isyarat bahawa khalifah setelah Rasulullah s.a.w. wafat ialah Saidina Abu Bakr, kerana Rasulullah s.a.w. menyuruhnya menjadi imam dalam sembahyang, sedangkan imam sembahyang itu adalah jawatan Baginda. Apabila Saidina Abu Bakr disuruh menggantikan Baginda dalam sembahyang maka dalam urusan pemerintahan juga sama seperti itu, kerana kedua-duanya adalah jawatan Baginda.
Nas yang lain:

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اقْتَدُوا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِي أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ
سنن الترمذى - (12 / 121)

Bermaksud; Daripada Hudhayfah katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Hendaklah kamu mencontohi dua orang yang selepasku Abu Bakr dan Umar.

Hadith di atas juga adalah isyarat yang jelas bahwa Saidina Abu Bakr adalah khalifah Rasulullah s.a.w.
Nas yang lain:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ
قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَرَضِهِ ادْعِي لِي أَبَا بَكْرٍ أَبَاكِ وَأَخَاكِ حَتَّى أَكْتُبَ كِتَابًا فَإِنِّي أَخَافُ أَنْ يَتَمَنَّى مُتَمَنٍّ وَيَقُولُ قَائِلٌ أَنَا أَوْلَى وَيَأْبَى اللَّهُ وَالْمُؤْمِنُونَ إِلَّا أَبَا بَكْرٍ
(صحيح مسلم، فضائل الصحابة رضى الله عنهم، بَاب مِنْ فَضَائِلِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ)

Bermaksud: Daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku pada masa sakitnya: Pangillah Abu Bakr, bapamu dan saudara lelakimu, untuk aku menulis satu tulisan, kerana aku takut ada orang yang berangan-angan, dan ada orang berkata, aku (dirinya) lebih utama, sedangkan Allah dan orang Mukmin enggan, kecuali Abu Bakr.

Hadith di atas adalah memberi isyarat bahawa penganti Rasulullah s.a.w. adalah Saidina Abu Bakr.

التبويب الموضوعي للأحاديث - (1 / 3529)
عن عبد الله بن زمعة بن الأسود بن المطلب بن أسد قال * لما استعز برسول الله صلى الله عليه وسلم وأنا عنده في نفر من المسلمين دعا بلال إلى الصلاة فقال مروا من يصلي بالناس فخرجت فإذا عمر رضي الله عنه في الناس وكان أبو بكر رضي الله عنه غائبا فقلت يا عمر قم فصل بالناس فقام فلما كبر سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم صوته وكان عمر رجلا جهيرا فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم فأين أبو بكر يأبى الله والمسلمون ذلك فبعث إلى أبي بكر رضي الله عنه فجاء بعد أن صلى عمر تلك الصلاة فصلى بالناس قال عبد الله بن زمعة فقال عمر ويحك ماذا صنعت بي يا بن زمعة والله ما ظننت حين أمرتني إلا أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أمر بذلك ولولا ذلك ما صليت بالناس قلت والله ما أمرني رسول الله صلى الله عليه وسلم ولكن حين لم أر أبا بكر رأيتك أحق من حضر بالصلاة بالناس
هذا حديث صحيح على شرط مسلم ولم يخرجاه
الحاكم في مستدركه ج3/ص743 ح6703

Bermaksud: Daripada Abd Allah bin Zam`ah bin al-Aswad bin al-Muttalib bin Asad, katanya, apabila Rasulullah s.a.w. sakit kuat, ketika itu aku ada bersama-sama Baginda dan beberapa orang Islam yang lain, maka Bilal pun melaungkan azan untuk sembahyang, Rasulullah s.a.w. bersabda: Suruhlah orang menjadi imam kepada orang ramai, maka aku pun keluar, tiba-tiba Umar bersama-sama orang ramai, sedangkan Abu Bakr tidak ada, maka aku pun berkata, wahai Umar! Bangun, dan sembahyanglah menjadi imam kepada orang ramai, maka dia pun bangun, setelah dia melafazkan takbir, Rasulullah s.a.w.mendengar suaranya, Umar adalah seorang yang kuat suaranya, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Mana Abu Bakr? Allah dan orang-orang Islam tidak mahu yang demikian, maka diutuslah orang kepada Abu Bakr, Abu Bakr pun datang setelah Umar sembahyang mengimamkan orang ramai, maka dia sembahyang menjadi imam. Abd Allah bin Zam`ah berkata, kata Umar, celaka engkau, Apa yang engkau buat kepdaku, wahai Ibn Zam`ah? Aku tidak menyangka ketika engkau menyuruh aku (sembahyang menjadi imam) kecuali bahawa Rasulullah menyuruh yang demikian, kalau tidak kerana itu aku tidak akan sembahyang menjadi imam kepada orang ramai. Aku menjawab, demi Allah, Rasulullah tidak menyuruh aku (supaya engkau jadi imam), tetapi apabila aku tidak melihat Abu Bakr, maka aku lihat engkau yang paling layak di kalangan orang yang hadir, untuk menjadi imam sembahyang.

Hadith di atas adalah amat jelas memberi isyarat bahawa pengganti Baginda s.a.w.adalah Saidina Abu Bakr r.a.. Suruhan Rasulullah s.a.w. mengganti Baginda menjadi imam sembahyang adalah isyarat yang kuat bahawa Saidina Abu Bakr adalah khalifah setelah Baginda s.a.w.
Nas yang lain:

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ
أَتَتْ امْرَأَةٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَرَهَا أَنْ تَرْجِعَ إِلَيْهِ قَالَتْ أَرَأَيْتَ إِنْ جِئْتُ وَلَمْ أَجِدْكَ كَأَنَّهَا تَقُولُ الْمَوْتَ قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْ لَمْ تَجِدِينِي فَأْتِي أَبَا بَكْرٍ
(صحيح البخاري، فضائل أصحاب النبى صلى الله عليه وسلم، بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً)

Bermaksud: Daripada Muhammad bin Jubayr bin Mut`im daripada bapanya katanya, seorang wanita datang menemui Nabi s.a.w. maka Nabi menyuruh supaya wanita itu datang balik kepada Baginda, kata Wanita itu, apa pandanganmu jika aku datang tetapi aku tidak mendapati engkau. 
Seolah-olahnya (apa yang dimaksudkan wanita itu ialah engkau) wafat, maka jawab Nabi s.a.w: jika engkau tidak mendapati aku maka datanglah menemui Abu Bakr.

Hadith di atas juga mengisyaratkan bahawa penganti Rasulullah s.a.w. adalah Saidina Abu bakr r.a.

Di atas tadi adalah isyarat-isyarat bahawa Saidina Abu Bakr adalah khalifah setelah sahaja Rasulullah wafat. Maksud isyarat ialah tanda-tanda, sekalipun bukan dengan secara yang yakin dan jelas. Jika sudah yakin dan jelas maka tidak perlu kepada mesyuarat (syura).
Nas yang lain:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
كُنَّا نُخَيِّرُ بَيْنَ النَّاسِ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنُخَيِّرُ أَبَا بَكْرٍ ثُمَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ثُمَّ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ
(صحيح البخاري، فضائل أصحاب النبى صلى الله عليه وسلم،باب فَضْلِ أَبِي بَكْرٍ بَعْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ)

Bermaksud: Daripada Ibn Umar r.a. katanya, kami menilai orang yang paling baik pda zaman Nabi s.a.w. maka pilihan kami ialah Abu Bakr kemudian Umar kemudian Uthman.

Nas di atas menunjukkan bahawa setelah Rasulullah s.a.w. maka pilihan pertama para Sahabat adalah Saidina Abu Bakr.

Dari nas-nas di atas menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakr adalah orang yang telah dijamin syurga, dipuji oleh Allah dan Rasulullah-Nya dan dipuji oleh para Sahabat termasuk Saidina Ali sendiri, Nabi s.a.w. sendiri mengakui bahaw Saidina Abu Bakr itu adalah siddiq iaitu orang yang sangat bersifat benar, banyak ayat-ayat al-Quran turun kerana memujinya, segala ruang kebaikan dilakukan olehnya sehingga dia akan diseru masuk syurga oleh semua puntu-pintu syurga. Saidina Abu Bakr juga telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjadi pengganti kepada Baginda. Pada masa hayat Rasulullah s.a.w., selain dari Baginda s.a.w. maka pilihan pertama para Sahabat adalah Saidina Abu Bakr r.a. Dengan kelebihan-kebihan ini maka sudah sepatutnyalah bahawa Saidina Abu Bakr itu menjadi khalifah pertama setelah wafat Rasulullah s.a.w.

No comments:

Post a Comment