|
TRAGEDI tanah runtuh di Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang pada 7 Ogos lalu masih jelas terbayang di mata Azhar Jaafar, 26.
Menurut Azhar, bayangan itu seakan-akan klip video yang ditayang berulang-ulang terutamanya menjelang waktu berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.
“Pada masa kejadian, bapa, ibu dan adik saya sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur,” imbas Azhar, anak kedua daripada lima beradik.
Seramai enam ahli keluarga Azhar terkorban dalam tragedi itu. Mereka ialah bapanya, Jaafar Balad, 48; ibunya, Normah Gunung, 51; adiknya, Mohd. Ikbal, 15; adik iparnya, Yusniza Yusof, 22; ibu saudaranya, Sara Gunung, 37; dan neneknya, Normadiah Lasik, 69.
Turut terkorban dalam tragedi pukul 5.45 petang di perkampungan yang telah diduduki selama lebih lima dekad lalu itu ialah jiran mereka, Mat Ali Ah San, 50.
Kata Azhar, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata tetapi amat menakutkan. Ada penduduk menceritakan bunyi runtuhan tanah itu seperti petir yang menggegar rumah-rumah di lereng bukit itu.
‘Air besar’ dilihat turun bergulung-gulung dari atas bukit, membawa batang pokok dan menyambar enam buah rumah yang berada di sepanjang lereng itu.
Salah seorang saksi kejadian ialah Pembantu Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Mohd. Yusuf Ngasri, 54. Kata Yusuf, kejadian yang disaksikannya dari balkoni rumahnya itu merupakan yang pertama kali berlaku dalam sejarah 54 tahun perkampungan Orang Asli itu.
Yusuf terkejut melihat rumah keluarga Azhar tiba-tiba lenyap daripada pandangannya.
Azhar dan semua ahli keluarganya memeluk Islam sejak tiga tahun lalu. Tahun ini merupakan kali keempat mereka berpuasa pada bulan Ramadan.
Secara kebetulan, inilah kali pertama neneknya, Normadiah datang ke rumahnya untuk berbuka puasa bersama-sama.
“Nenek saya baru sahaja tiba dari kampungnya yang terletak tidak jauh dari sini. Kami sangat gembira kerana berpeluang berbuka puasa bersamanya.
Nasi buluh
“Kebetulan pada sebelah pagi dia pergi ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk menjalani pemeriksaan rutin penyakit darah tingginya, jadi dia singgah ke rumah kami,” ujar Azhar yang bekerja di sebuah hotel di pusat peranginan tanah tinggi itu.
Semasa kejadian tempoh hari, Azhar sedang bertugas di hotel yang terletak di pekan Brinchang itu.
Satu-satunya anak perempuan tunggal dalam keluarga itu, Nor Fifa Jaafar, 20, terkilan kerana dia tidak lagi dapat merasai bubur kacang hijau masakan ibunya.
Menurut Fifa, menu tersebut merupakan hidangan wajib ibunya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri selain rendang dan kuih-muih.
“Sepanjang tiga tahun menyambut hari raya, bubur kacang hijau ibu adalah makanan kegemaran saya,” katanya ketika ditemui Jurnal di pusat pemindahan sementara mangsa tanah runtuh Kampung Sungai Ruil di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Brinchang.
Kenang Fifa lagi, selain daripada masakan biasa pada hari raya seperti rendang ayam dan lemang, ibunya turut menyediakan hidangan tradisi iaitu nasi buluh.
Dalam bahasa suku Semai, nasi tersebut dipanggil po’ol, merujuk kepada nasi yang dimasak di dalam buluh.
Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut Selasa ini pasti terasa sayu.
“Perkara pertama yang akan kami lakukan pada pagi raya ialah menziarahi kubur ahli keluarga kami.
“Selalunya sebelum ini, selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Brinchang, kami akan berkumpul di rumah tetapi kali ini berlainan pula.
Homestay
“Saya sedih kerana tidak dapat bermaaf-maafan dengan ibu dan ayah pada pagi Syawal nanti,” kata Zulkarnain, anak keempat Jaafar. Zulkarnain merupakan pelajar tahun satu diploma kesihatan di Institut Assyifa’ dan Sains Kesihatan Bersekutu, Taiping, Perak.
Di sebalik tragedi yang menimpa, Azhar, Fifa, Zulkarnain dan abang sulung mereka, Riduan Jaafar, 31, memutuskan untuk terus tinggal di kampung itu dan membina sebuah rumah lain demi kecintaan mereka kepada ahli keluarga.
Menurut Tok Batin kampung berkenaan, Kadir Asan, 42, kira-kira 20 peratus daripada 1,000 penduduk perkampungan itu beragama Islam.
Kawasan penempatan itu merupakan sebahagian daripada 27 kampung Orang Asli yang terdapat di daerah Cameron Highlands.
Mengikut bancian yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), negeri Pahang mencatatkan jumlah penduduk Orang Asli paling ramai dengan 50,792 orang diikuti oleh Perak dengan 42,841 orang.
Perjalanan dari Tapah ke Tanah Rata sahaja sudah menemukan pengunjung dengan beberapa penempatan Orang Asli di sepanjang laluan berbukit dan berliku itu.
Mereka juga mendirikan gerai menjual hasil hutan seperti orkid liar, rebung, petai, akar kayu dan madu lebah.
Ada juga hasil kraf yang dijual, antaranya sumpit, tudung saji dan bakul mengkuang.
Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat Orang Asli yang masih memakai cawat menggalas bakul mencari hasil hutan.
Sesuai dengan reputasinya sebagai pusat pelancongan tanah tinggi terkenal di negara ini, beberapa perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands telah dipilih mengikuti program homestay. Ini termasuk Kampung Sungai Ruil, yang terletak dua kilometer dari Jalan Brinchang-Tanah Rata.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen yang melancarkan Pakej Pelancongan Orang Asli di perkampungan berkenaan pada tahun 2009 berkata, produk terbaru itu berpotensi menarik pelancong yang berminat untuk mendalami budaya serta kehidupan masyarakat Orang Asli.
Secara keseluruhannya, pakej itu mengetengahkan konsep percutian seperti inap desa di perkampungan orang asli.
Menerusinya, para pelancong akan dibawa mendekati keindahan alam semula jadi selain didedahkan dengan keunikan kehidupan masyarakat Orang Asli seperti kraf tangan, persenjataan, makanan, kebudayaan, tarian, lagu dan alat muzik.
No comments:
Post a Comment