Sunday, August 28, 2011

Malaysia iktiraf kerajaan sementara Libya



KUALA LUMPUR - Malaysia mengiktiraf Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) sebagai kerajaan sementara Libya yang sah, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata, Kuala Lumpur berharap NTC, yang disokong oleh rakyat Libya akan mengurus pentadbiran sementara negara itu ke arah perpaduan nasional, perdamaian dan pembangunan semula yang membawa keamanan dan kestabilan berkekalan kepada Libya dan rakyatnya.
NTC dipengerusikan oleh Mustafa Abdul Jalil dan Mahmoud Jibril serta anggota lain yang dilantik.
"Malaysia menyertai gesaan antarabangsa mendesak tentera Muammar Gaddafi supaya menyerah kepada pilihan majoriti rakyat Libya," kata Anifah dalam kenyataan di sini malam kelmarin.
Katanya, tindakan itu bagi mengelak lebih banyak pertumpahan darah dalam kalangan rakyat tempatan dan mencegah negara utara Afrika itu daripada terjebak ke dalam kancah krisis kemanusiaan yang dahsyat.
Setakat ini sebanyak 57 negara telah mengiktiraf NTC dengan kebanyakan daripadanya adalah negara-negara Barat.
mengulas pendirian Malaysia itu, pakar sains politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain ketika dihubungi menyifatkan ia satu keputusan yang wajar berdasarkan keadaan di Libya pada masa ini.
Beliau menjelaskan, walaupun NTC didalangi pasukan pemberontak, majoriti rakyat Libya sendiri menyokong pergerakan itu dan menolak rejim Gaddafi.
"Ia membuktikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan hubungan diplomatik yang praktikal dan realistik.
"Tidak timbul isu patutkah pengiktirafan diberikan (kepada NTC), ini kerana kerajaan kita juga memikirkan kesan pengiktirafan tersebut terhadap rakyat Malaysia yang masih berada di Libya," katanya.

No comments:

Post a Comment