Sunday, August 28, 2011

Penipuan tetap berlaku



KUALA TERENGGANU – Pembangkang tidak bersetuju cadangan untuk menukar pengundi pos kepada ‘pengundi awal’ kerana menganggap penipuan akan tetap berlaku dalam pilihan raya umum.

Sebaliknya, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh tetap mempertahankan tuntutan jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 (Bersih 2.0) berhubung pemansuhan undi pos.

Beliau menegaskan, undi pos patut dibubarkan dan tidak perlu menggantikannya dengan pengundian awal dan sebagainya.

“Sepatutnya undi pos itu dimansuhkan dahulu. Tidak perlu menggantikannya dengan pengundi awal kerana awal atau akhir, kita percaya akan wujud penipuan.

“Apabila undi pos dimansuhkan, barulah kita boleh fikirkan mekanisme atau kaedah tertentu melalui perundingan dan perbincangan dengan mana-mana parti kerana masing-masing ada pandangan tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung pengumuman SPR yang berhasrat untuk menukar pengundi pos kepada pengundi awal susulan dakwaan berlaku penipuan undi menggunakan undi pos.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, pindaan undang-undang itu diperlukan untuk membolehkan ia dirangka untuk pembentangan dalam sidang Parlimen, Oktober ini.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, polis dan tentera perlu melakukan pengundian sebagaimana biasa kerana percaya penyelewengan tidak akan berlaku sebagaimana undi pos.

Bagaimanapun, beliau turut berpendapat, sebagai anggota keselamatan, pihak tersebut tidak perlu mengundi supaya mereka tidak berpihak kepada mana-mana parti.

“Sebaik-baiknya, mereka ini dikecualikan daripada memilih supaya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.

No comments:

Post a Comment