Saturday, August 11, 2012

Isu Rohingya: Mahathir minta campur tangan Suu Kyi

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap agar negara-negara Islam di seluruh dunia dapat bersama-sama memainkan peranan membantu menamatkan kesengsaraan etnik Rohingya di Myanmar.
Beliau berkata, usaha dari Malaysia semata-mata tidak mungkin mampu menyelesaikan masalah tersebut.
"Tapi kalau usaha datang dari seluruh umat Islam, negara-negara Islam dan negara-negara lain, saya yakin pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengambil tindakan untuk menyelamatkan Rohingya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan simbolik sumbangan air bersih melalui Projek "Waqaf Water4Gaza" di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan kerajaan Arab Saudi bahawa Myanmar yang majoriti penduduknya menganut agama Buddha sedang menjalankan proses pembersihan
etnik Muslim Rohingya di negara tersebut.
Dr Mahathir turut berharap agar kerajaan Myanmar yang kini telah membuka pintu kepada proses demokrasi agar bertimbang-rasa terhadap nasib buruk yang ditimpakan ke atas etnik Rohingya.
Dalam perkembangan yang sama, Dr Mahathir berkata beliau telah menulis surat kepada ikon demokrasi yang juga aktivis hak asasi manusia di Myanmar, Aung Sang Suu Kyi kira-kira lima hari lepas yang meminta agar beliau campur tangan dalam isu tersebut.
"Dia mempunyai pengaruh dan saya harap dia akan menyatakan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Pemenang hadiah Nobel Keamanan itu baru-baru ini dilaporkan berkata "saya tidak tahu" apabila dilontarkan soalan sama ada etnik Rohingya merupakan rakyat Myanmar.
Pergolakan di negeri Rakhine antara penganut Buddha Rakhine dan Muslim Rohingya telah mengorbankan kira-kira 80 orang sejak Jun lepas.
Kerajaan Myanmar mengklasifikasikan etnik Rohingya sebagai masyarakat Islam Bengali yang masuk dari Bangladesh, tetapi tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat Myanmar. - Bernama

No comments:

Post a Comment