Monday, October 15, 2012

Apabila prof ultra kiasu jahil Islam - RIDHUAN TEE ABDULLAH

Apabila prof ultra kiasu jahil Islam - RIDHUAN TEE ABDULLAH - Sinar Harian:


Seorang pensyarah berjawatan profesor madya, di tempat saya bekerja, mengeluarkan pendapat dalam satu forum bersama tiga panel ultra kiasu bukan Islam di Pulau Pinang pada 2 Oktober lalu, langsung tidak mencerminkan watak seorang intelektual dan amat naif ilmunya tentang Islam.
Beliau mempertikaikan kedudukan Sekolah Agama yang telah wujud sekian lama mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11). Sekolah Agama dikatakan menjadi punca polarisasi kaum, kerana melahirkan pemikiran pelajarnya tertutup atau jumud, sehingga boleh menimbulkan masalah dalam masyarakat berbilang kaum. Beliau mendakwa, sekolah ini hanya mendokmakan isu halal dan haram sahaja serta menjadi sarang kempen hudud dan negara Islam.
Persoalannya, pernahkah beliau membuat kajian dan pergi ke sekolah agama? Bentangkan dapatannya? Kenapa tidak mempertikaikan sekolah vernakular, sekolah swasta dan parti diwakilinya yang menjadi sarang perkauman?
Kenapa beliau tidak mempertikaikan desakan Persatuan Agama Buddha, Hindu, Kristian, Taoisme dan Sikh yang mahukan sekolah agama-agama lain turut didirikan? Adakah desakan sedemikian tidak menyebabkan polarisasi? Pembacaan cetek beliau menjadikan saya terfikir layakkah dia mengajar di sebuah universiti tentera?

Adakah George Bush dan Donald Rumsfeld belajar agama, sehingga sanggup membunuh puluhan ribu umat Islam di Iraq suatu ketika dahulu? Begitu juga presiden Amerika sebelum dan selepas itu. Siapakah yang menghalalkan darah umat Islam?Lebih pelik lagi kenapa Pas membisu seribu bahasa? Adakah kerana sepakatan? Ingatan saya kepada Pas, jangan biarkan Islam dihina. Amaran Shahnon Ahmad memang tepat. Ultra kiasu tidak boleh dipercayai kerana mereka adalah musuh Islam.

Menghina dan memperkecilkan sekolah agama yang diibaratkan sebagai ‘time bomb’ adalah kenyataan amat kurang ajar, apatah lagi jika mengakui dirinya Islam.

Pensyarah ini gagal memahami maksud equity dan equality. Equity bermakna keadilan, memberikan kepada yang berhak. Manakala equality adalah persamaan yang dijamin dalam Perlembagaan kepada semua warganya. Keistimewaan Islam memang tidak boleh dinafikan sama sekali, kerana ada timbal balik kepada agama lain jua dari segi hak mereka. Jemputlah ke kelas saya jika tidak faham.
Tuduhan yang mengatakan sekolah agama hanya mendokma perkara halal haram menyeleweng sama sekali. Dalam Islam terlalu banyak isu halal berbanding haram. Bagaimana kenyataan ini boleh keluar daripadanya? Saya harap Melayu lain yang berada dalam parti ultra kiasu menyedari hakikat ini. Keluarlah daripada parti anti-Islam seperti yang dilakukan oleh bekas seorang senator sebelum ini.  
Pandangan beliau itu tidak mencerminkan dia pernah membuat kajian tentang sekolah agama yang mengajar soal tauhid, akidah, syariah, muamalah dan banyak lagi cabang ilmu. Ini tidak termasuk gabungan antara ilmu agama dengan sains, yang dikenali sebagai kesepaduan ilmu (integrated knowledge) yang sedang berlaku di sekolah agama.
Inilah berjayanya ultra kiasu mempergunakan orang Islam untuk menghentam dan menghina agama Islam sendiri. Kajian demi kajian oleh beberapa sarjana menunjukkan pelajar Islam sekolah agama Islam lebih terbuka dan tidak ada masalah langsung untuk berinteraksi dengan orang bukan Islam. Malah, mereka dengan mudah menerima kehadiran sekolah vernakular. Berbanding produk sekolah vernakular dan swasta yang amat sukar sekali untuk berinteraksi dengan orang Melayu dan menerima kehadiran sekolah agama.
Kerana apa? Jawapannya, dalam Agama Islam, kita diajar menghormati agama bukan Islam dan hak mereka. Sehingga dalam peperangan sekalipun, Islam mengajar kita menjaga hak mereka. Ternyata, beliau amat jahil dan tidak tahu betapa mulianya agama Islam dalam meraikan orang lain.  
Tidakkah beliau sedar bagaimana peranan golongan agama memerdekakan tanah air tercinta ini? Adakah nama-nama seperti Tok Kenali, Tok Janggut dan sebagainya datang dari sekolah di Amerika? Jika produk sekolah agama itu yang menjadi masalah kepada masyarakat dan negara, sudah tentu orang agama atau para mufti yang kebanyakan produk sekolah agama mengisytiharkan perang terhadap bukan Islam yang berhijrah ke negara ini. Kenapa sikap para mufti dan para ulama begitu lunak dengan bukan Islam?
Saranan kepada pensyarah tersebut, jika jahil belajarlah. Jika bukan kita mempertahankan Islam dan hukum Islam, nak harap siapa lagi?

No comments:

Post a Comment