Monday, October 15, 2012

Konfrantasi berdarah di selatan Filipina berakhir, Bangsamoro akan lahir



Beberapa anggota MILF mengawal pos kawalan di kem mereka di Kem Darapanan di Sultan Kudarat, selatan Filipina pada 10 Oktober lalu. - AGENSI
PERJANJIAN awal damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mendapat reaksi melegakan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada penduduk di wilayah selatan negara itu.
Perjanjian yang dicapai menerusi rundingan damai kali ke-32 tersebut bakal menyaksikan konflik selama 40 tahun di wilayah itu berakhir dan satu wilayah baharu autonomi yang dikenali sebagai Bangsamoro akan dibentuk.
Kata putus yang dicapai menerusi perjanjian tersebut memberi makna tersendiri kepada kedua-dua belah pihak, termasuk Malaysia yang menjadi orang tengah dalam setiap rundingan yang diadakan antara kedua-dua pihak sejak lebih sedekad lalu.
Peranan Malaysia selaku pengantara bagi kedua-dua pihak bermula sejak era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, diteruskan semasa era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sehingga era Datuk Seri Najib Tun Razak.
Biarpun dilihat sebagai satu langkah positif ke arah mewujudkan keamanan serta memperbaiki hubungan baik antara kerajaan Filipina dan MILF, namun masih timbul keraguan, sama ada keputusan tersebut mampu mencapai matlamatnya atau sebaliknya.
Hal ini kerana, perjanjian tersebut masih di peringkat awal sementara masih banyak isu besar yang perlu diselesaikan sebelum pentadbiran Presiden Benigno Aquino III tamat pada 2016.
Antara isu yang masih perlu ditangani ialah bagaimana MILF dan kerajaan Filipina akan berkongsi 'hasil kekayaan bahan mentah' yang sebahagian besarnya belum diterokai di Mindanao.
Wilayah tersebut merupakan satu daripada kawasan pertanian paling subur di Filipina dan dipercayai kaya dengan hasil galian seperti emas dan tembaga.
MILF dan beberapa organisasi Islam lain sebelum ini, menganggap selatan Mindanao sebagai tanah air nenek moyang mereka sejak zaman kesultanan Islam sehinggalah era agama Kristian semasa penjajahan Sepanyol.
Sehubungan itu, timbul kebimbangan jika berlaku perebutan antara kerajaan dan MILF ke atas hasil bahan mentah di wilayah itu.
Beberapa pakar analisis berpendapat, ekonomi negara itu dapat ditingkatkan kepada paras terbaik, sekiranya bahan mentah di Mindanao digunakan untuk tujuan yang betul.
Aquino yang dianggap sebagai seorang pemimpin Filipina paling berjaya pada zaman ini, sebelum ini berjanji bahawa wilayah autonomi Bangsamoro itu akan menerima pengagihan kekayaan ekonomi yang adil.
Selain itu, perjanjian damai itu juga perlu meneliti soal keselamatan dalam negeri.
Walaupun MILF bersetuju untuk menamatkan keganasan di selatan Filipina, ia masih tidak dapat menjamin keamanan yang berkekalan di wilayah itu.
Hal ini kerana, MILF bukanlah satu-satunya kumpulan pemberontak yang aktif di selatan Filipina, kerana terdapat pergerakan lain seperti kumpulan gerila Mao yang pernah melancarkan beberapa serangan ke atas projek perlombongan swasta di selatan Mindanao dan kumpulan militan Abu Sayyaf.
Satu lagi isu yang sehingga kini belum dapat diselesaikan adalah mengenai desakan MILF supaya Perlembagaan Filipina dipinda berhubung kuasa undang-undang di wilayah autonomi tersebut.
MILF mendesak agar Perlembagaan Filipina memberikan mereka kuasa untuk mentadbir wilayah sendiri dan jika diluluskan, kerajaan autonomi itu berkemungkinan memiliki lebih banyak kuasa berbanding yang ditawarkan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, desakan itu mungkin berhadapan kesukaran kerana pentadbiran Aquino menolak sebarang pindaan Perlembagaan.
Penolakan itu berpunca daripada kesukaran mendapat sokongan daripada penduduk awam serta golongan ahli politik yang kebanyakannya merupakan penganut Kristian Katolik.
Walaupun tanpa pindaan Perlembagaan, Parlimen tetap perlu meluluskan 'Undang-Undang Asas' untuk wilayah baharu autonomi tersebut.
Selain diharap dapat mewujudkan keamanan dalam tempoh panjang, perjanjian damai itu juga dijadikan sebagai medium terbaik bagi mewujudkan hubungan baik dengan negara-negara serantau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121015/lu_05/Konfrantasi-berdarah-di-selatan-Filipina-berakhir-Bangsamoro-akan-lahir#ixzz29RVtov00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment