Monday, October 15, 2012

UAE tawar rawat aktivis remaja

Malala Yousufzai
Malala Yousufzai



Islamabad: Keluarga diraja Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersedia menghantar sebuah pesawat ambulans khas bagi membantu seorang budak perempuan yang ditembak Taliban jika doktor memutuskan mangsa perlu dihantar ke luar negara untuk mendapatkan rawatan.

Duta Pakistan ke UAE, Jamil Ahmed Khan memberitahu stesen Geo TV semalam bahawa visa sedang diuruskan untuk kru dan enam doktor yang akan mengiringi Malala Yousufzai, 14, dalam penerbangan terbabit. 




Khan berkata, urusan dibuat untuk merawat Malala di tiga hospital bertempat di Dubai dan Abu Dhabi. Tentera Pakistan juga berkata, belum ada keputusan dibuat untuk menghantar Malala ke luar negara dan tawaran pesawat khas UAE itu adalah sebahagian daripada pelan kecemasan. 

Seorang lelaki bersenjata Taliban menembak Malala pada Selasa lalu kerana keberanian mangsa menyokong pendidikan untuk wanita dan mengkritik pergerakan berkenaan. 

Di Kabul, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dilaporkan menulis surat kepada pemimpin agama dan politik Pakistan bagi mengutuk serangan Taliban terhadap Malala dan meminta mereka membantu menangani kegiatan pelampau di dua negara. 

Malala cedera parah selepas kena tembakan di kepala dalam kejadian ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah. Beliau dikenali ramai kerana menjadi aktivis untuk pendidikan pelajar perempuan di Lembah Swat. 
Ambil langkah serius 
Kejadian tembakan itu juga menyebabkan kritikan di peringkat antarabangsa terhadap pergerakan pelampau terbabit. 

Pejabat Karzai dalam satu kenyataan dikeluarkan Sabtu berkata, presiden menulis surat serangan terhadap Yousufzai menunjukkan Pakistan dan Afghanistan perlu mengambil langkah serius menentang keganasan dan pelampau. 
AP

No comments:

Post a Comment