Monday, October 15, 2012

Majlis Ugama Islam Singapura

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
9 Mac 2012 / 16 Rabiulakhir 1433
Mengambil Pengajaran dari Ijtihad Khalifah 
Sayyidina ‘Umar Bin Al-Khattab r.a.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 
Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya. Hindarkan segala larangan dan tegahan-Nya. Semoga keimanan dan ketakwaan kita mampu mencorak pekerti mulia serta gaya pemikiran yang berlandaskan pengamatan yang mendalam, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para Salafussoleh selepasnya. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 
Di kesempatan Jumaat yang penuh dengan keberkahan ini. Izinkan saya berkongsi kali ini tentang seorang lagi sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak kurang hebatnya. Beliau merupakan pengganti kepada Khalifah pertama iaitu Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Sahabat yang saya maksudkan ini tidak lain ialah Amirul Mukminin Sayydina ‘Umar Bin Al-Khattab r.a. 

Khalifah ‘Umar r.a. merupakan seorang khalifah yang bijaksana, berfikiran jauh dan berwawasan. Segala keputusan dan tindakan yang diambil merupakan hasil penelitiannya yang mendalam, yang bukan sahaja mengambil kira kesannya pada hari ini, tetapi juga kepada umat Islam dan bukan Islam selepasnya. Kebijaksanaan Sayyidina ‘Umar r.a. ini juga turut diakui oleh Baginda s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: “Aku tidak pernah menemukan kebijaksaan seseorang yang sepadan dengan kebijaksanaan ‘Umar”. Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim. 

Kata-kata Rasulullah s.a.w. ini tidak menjadi satu kehairanan, kerana Baginda sendiri menyaksikan bagaimana sumbangan idea Sayyidina ‘Umar yang bernas, sering kali mampu membantu Baginda dan juga pengganti selepasnya iaitu Khalifah Abu Bakar, dalam membuat keputusan yang terbaik bagi kemaslahatan masyarakat. 

Ini terbukti apabila umat Islam terlibat dalam perang Yamamah, ramai dari kalangan para sahabat yang gugur dan mati syahid, dan ini termasuklah para Qurra’ yakni pembaca Al-Quran dan juga para Huffaz atau mereka yang hafal Al-Quran. Perkembangan ini amat membimbangkan umat Islam sekaliannya, memandangkan tidak ramai sahabat yang mempunyai kemahiran membaca dan pada masa yang sama menghafal Al-Quran. 

Lantas Sayyidina ‘Umar dengan ketajaman mindanya menganjurkan kepada khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a. bagi mengumpul dan menghimpunkan Al-Quran. Peristiwa ini jelas diriwayatkan dalam kitab Sahih Bukhari, bahawa Sayyidina ‘Umar Bin Al-Khattab telah mencadangkan (yakni bagi mengumpulkan Al-Quran) kepada Sayyidina Abu Bakar r.a. setelah selesainya perang Yamamah. Dia lalu memanggil Zaid Bin Tsabit r.a. dan berkata kepada Zaid: “Sesungguhnya kamu adalah seorang yang masih muda dan cerdik akalnya, kami tidak meragukanmu, kamu dahulu pernah menulis wahyu untuk Rasulullah s.a.w., maka sekarang carilah Al-Quran dan kumpulkanlah!”. Zaid lalu berkata: “Maka akupun mencari dan mengumpulkan Al-Quran (yang tertulis) atas pelepah kurma, permukaan batu dan dari hafalan orang-orang lain. ”

Lihatlah betapa mendalamnya pandangan dan ijtihad Sayyidina ‘Umar ini, beliau dapat menduga kesan dan implikasi yang bakal berlaku jika Al-Quran tidak dikumpul dan dihimpunkan menjadi satu mushaf atau kitab. Dengan ramainya para Qurra’ dan Huffaz yang wafat, maka satu tindakan segera perlu dilakukan bagi mengekalkan kewujudan Al-Quran. Tindakan segera Sayyidina ‘Umar ini bukan sekadar menguntungkan para sahabat dan tabi’in pada masa itu sahaja, bahkan manfaatnya juga turut dirasai oleh kita pada hari ini. Maka tepatlah apa yang dijamin dan dijanjikan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Hijr ayat 9: 

Ertinya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah jua yang memelihara dan menjaganya.”

Ketajaman minda dan pandangan jauh Sayyidina ‘Umar ini juga jelas dapat kita perhatikan dalam satu lagi kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Kathir melalui kitabnya ‘Al-Bidayah Wa Al-Nihayah’, yang menyebut tentang peristiwa pembukaan kota Al-Quds atau Baitul Maqdis di Palestin. Di mana sewaktu Sayyidina ‘Umar r.a. bersama seorang paderi di gereja Al-Qiyamah, iaitu di ketika masuknya waktu solat. Sayyidina ‘Umar lantas bergegas keluar untuk bersolat di satu sudut gereja. Hal ini diketahui oleh paderi tersebut, lalu beliau berkata kepada Sayyidina ‘Umar r.a.: “Silakan bersolat di dalam Ya Amirul Mukminin”. Jawab ‘Umar r.a. “Terima kasih tuan. Saya sengaja bersembahyang di luar supaya di kemudian hari kelak, jangan ada orang berkata bahawa ‘Umar mahu menukarkan gereja kepada masjid, lalu diikuti pula oleh kaum Muslimin yang lain.” 

Lihatlah betapa mendalamnya sekali lagi pertimbangan yang dibuat oleh Sayyidina ‘Umar. Setiap tingkah lakunya difikirkan dengan teliti, begitu juga kesannya di hari muka. Kematangan dan ketajaman fikiran Sayyidina ‘Umar begitu mempersonakan seorang paderi. Indahnya perilaku dan kesantunan Sayyidina ‘Umar r.a. menjadi satu cerminan kepada akhlak terpuji Baginda Rasulullah s.a.w. Ia juga menonjolkan betapa tinggi dan mulianya ajaran Islam, bertoleransi dan amat menghormati warga yang bukan beragama Islam serta memastikan rumah ibadah mereka tetap terpelihara, bahkan gereja yang dilawati oleh Sayyidina ‘Umar pada masa itu masih lagi wujud dan kekal sehingga sekarang. 

Semoga riwayat hidup Sayyidina ‘Umar Bin Al-Khattab r.a. yang baru kita dengari tadi, mampu memberikan kita iktibar dan pengajaran dalam membuat pelbagai pertimbangan sebelum membuat sebarang keputusan, terutamanya dalam keadaan kita berdepan dengan isu yang rumit, atau di saat kita berhadapan dengan krisis dan konflik. Pastinya segala keputusan yang bakal diambil perlu mengambil kira senario pada waktu itu dan kesannya di hari muka. 

Semoga dengan kita mencontohi pandangan jauh dan kepimpinan para Khulafaa’ Ar-Rasyidin ini, kita bakal menjadi seorang Muslim yang berpandangan jauh, berpekerti mulia dan seterusnya tergolong di kalangan mereka yang berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

No comments:

Post a Comment