KOTA KINABALU - Polis menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang mengatakan berlaku kejadian tembak-menembak melibatkan sekumpulan orang asing bersenjata api yang mendarat di Pantai Tanduo, Lahad Datu Selasa lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, keadaan di kawasan berkenaan adalah terkawal dan menolak dakwaan wujudnya suasana tegang.
Katanya, ketika ini kedua-dua pihak iaitu kumpulan terbabit dengan pihak keselamatan negara sedang melakukan rundingan agar isu itu dapat diselesaikan segera.
"Keadaan terkawal dan tidak ada pihak luar yang boleh keluar masuk ke lokasi kejadian secara bebas.
"Justeru khabar angin berhubung ketegangan di kawasan tersebut adalah tidak benar. Keadaan di sana adalah selamat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Hamza berkata, perkembangan rundingan dengan kumpulan itu juga sangat positif dan polis yakin ia dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat.
"Sebaik sahaja rundingan dengan kumpulan tersebut selesai, semua ahli kumpulan yang mahu dikenali sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu Filipina itu akan dihantar pulang ke negara asal mereka," ujarnya.
Dalam kejadian Selasa lalu, sekumpulan orang asing bersenjata api yang disahkan daripada keturunan Sultan Sulu telah menceroboh masuk ke kawasan Lahad Datu.
Mereka turut membuat dua tuntutan kepada kerajaan Malaysia iaitu mengiktiraf kumpulan berkenaan sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu selain meminta penduduk Sulu yang berada di Sabah tidak hantar pulang ke Filipina.
Sementara itu, seorang penduduk, Asmah Ali, 40, berharap rundingan antara pasukan keselamatan dan kumpulan warga Filipina itu diselesaikan dengan baik dan tidak melibatkan insiden yang mengugat keselamatan.
"Jarak perjalanan antara Selatan Filipina dengan tempat ini hanya dua jam dan ini kali pertama kawasan ini diceroboh oleh kumpulan bersenjata api," jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2L3TdVplg
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment