Saturday, February 16, 2013

Pemberontak Syria tawan bandar minyak



PEMBERONTAK Syria berkumpul dekat sebuah kereta kebal T-72 milik tentera kerejaan Syria selepas berjaya menawan Kampung Kfarruma di Idlib dekat sempadan Turki dua bulan lalu. Pemberontak kini hampir menguasai sebahagian besar wilayah utara dan timur Syria. - AFP
DAMSYIK 15 Feb. - Pemberontak Syria daripada pergerakan Barisan al-Nusra Islam berjaya menawan bandar al-Shaddada, sebuah bandar minyak berhampiran bandar raya Hasaka, semalam.
Rakaman video yang menunjukkan kumpulan bersenjata meraikan kejayaan mereka dari kawasan pertempuran yang dikatakan berlaku di al-Shaddada turut dipos kepada media sosial.
Sebanyak 30 anggota al-Nusra, 100 tentera Syria dan berpuluh-puluh orang awam terbunuh dalam pertempuran itu, menurut Pertubuhan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Kelmarin, pemberontak berjaya menawan sebuah pangkalan udara bersama pesawat berhampiran bandar Aleppo, serta empangan hidro-elektrik terbesar di Syria, Thawra.
Al-Shaddada adalah sebuah bandar di selatan Hasaka, yang menjadi lokasi kebanyakan pengeluaran minyak Syria.
Dalam rakaman video itu, sekumpulan lelaki bersenjata berat menari sambil memekik slogan Islam, sambil memegang poster Presiden Bashar al-Assad yang kemudiannya dipukul sebelum dipijak-pijak.
Sekurang-kurangnya satu mayat yang berlumuran darah dengan pakaian seragam tentera kelihatan terbaring di atas tanah.
Satu lagi organisasi, Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria yang beribu pejabat di Qatar, turut mengesahkan bahawa al-Nusra telah menawan al-Shaddada. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130216/lu_03/Pemberontak-Syria-tawan-bandar-minyak#ixzz2L1Kzmtte
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment