Friday, March 15, 2013

Aquino menentang tekanan untuk keluarkan Malaysia dari rundingan damai


KUALA LUMPUR, 14 Mac — Dakwaan pencabulan hak asasi manusia Putrajaya terhadap rakyat Filipina di Sabah telah menimbulkan penentangan terhadap Malaysia sebagai fasilitator bagi rundingan damai antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), menurut Manila Standard Today (MST).
Akhbar Filipina itu walau bagaimanapun, melaporkan jurucakap kepada Presiden Filipina Benigno Aquino III (gambar) hari ini mengatakan negara tersebut tidak akan menggantikan Malaysia dengan negara lain, kerana Malaysia telah memainkan peranan dalam rundingan damai tersebut semenjak 2001.
“Kita telah hampir untuk persetujuan dan kita belum terima apa-apa notis. Tiada sebab untuk kita tukar fasilitator,” kata jurucakap presiden Edwin Lacierda dilaporkan berkata oleh laman atas talian MST.
“Mereka (Malaysia) banyak membantu dengan rangka rundigan untuk perdamaian, bukan sahaja untuk MILF tetapi untuk semua Muslim di Mindanao. Kita harus jelas: ini bukan hanya perdamaian dengan MILF; ini perdamaian untuk semua orang Muslim Filipina termasuk Kesultanan Di Raja, termasuk Moro National Liberation Front dan semua Muslim di Mindanao,” tambah beliau.
Media Filipina telah melaporkan penyalahgunaan dan pembunuhan sewenang-wenangnya semasa serbuan pihak berkuasa Malaysia untuk memburu simpatisan Sulu, sejak pengikut bersenjata kesultanan Sulu menceroboh Lahad Datu, Sabah, bulan lepas.
Philippine Daily Inquirer melaporkan Selasa lepas terdapat rakyat Filipina didakwa ditembak mati di Sandakan selepas dia dipaksa oleh polis untuk berlari secepat mungkin.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, walau bagaimanapun, menafikan keganasan yang dilaporkan Isnin lepas.
Bekas ketua perunding pemerintah dengan MILF Jeses Dureza dilaporkan berkata peranan Malaysia sebagai fasilitator yang berkecuali “berkecai” dengan pertuduhan penyalahgunaan terhadap rakyat Filipina di negeri Borneo itu.
“Satu daripada kemusnahan besar dari insiden Sabah adalah rundingan damai MILF. Terbukti insiden tersebut telah menenggelamkan rundingan damai MILF,” kata Dureza seperti dilaporkan oleh MST.
“Tuntutan MILF untuk domain nenek moyang Bangsamoro dan hak penentuan diri, tanpa pemfaktoran dalam tuntutan ke atas Sabah, tidak akan terpakai lagi,” tambah beliau.
Pemerintah Filipina telah mencapai persetujuan dengan MILF Oktober lalu yang dijangka akan mengurangkan keganasan di selatan Filipina yang bergolak. Di bawah perjanjian damai, MILF tidak lagi menuntut kemerdekaan, tetapi entiti politik baru yang dikenali sebagai Bangsamoro akan diwujudkan menggantikan Mindanao.
Media Filipina juga melaporkan bahawa lebih daripada 1,000 rakyat Filipina, ramai daripada mereka adalah pemegang MyKad, telah melarikan diri dari Sabah selepas pencerobohan Sulu bermula.
Bantilan Esmail II, adik Sulu “Sultan” Jamalul Kiram III, telah dipetik oleh akhbar Filipina Selasa lepas sebagai berkata pihak berkuasa Malaysia dikatakan telah menyalahgunakan rakyat Filipina di Sabah lama sebelum serangan Sulu bermula.
Pemerintah Filipina telah berkata mahukan jawapan dari Malaysia mengenai penyalahgunaan yang didakwa. Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan di Wilayah Autonomi Islam Mindanao telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat daripada pelarian sebelum mengemukakan aduan kepada Malaysia.
Timbalan jurucakap presiden Abigail Valte berkata dalam laporan ABN-CBS News pada Ahad bahawa istana Filipina telah menerima pelbagai dakwaan “layanan tidak berperikemanusiaan” terhadap rakyat Filipina tidak berdosa, yang kebanyakannya tidak mempunyai kaitan kepada pencerobohan oleh tentera diraja Kesultanan Sulu.
Seramai 66 orang terbunuh dalam serangan Sulu sehingga Selasa lepas, termasuk 56 militan Filipina, lapan polis Malaysia dan seorang askar Malaysia, dan seorang remaja yang tidak diketahui kewarganegaraan.

No comments:

Post a Comment