Friday, March 15, 2013

K’jaan jadikan Tian Chua ‘kambing hitam’ untuk tutup kelemahan



KUALA LUMPUR 14 MAC: Cubaan polis menahan Tian Chua sewaktu berada di mahkamah merupakan tindakan provokasi bertujuan memberi tekanan lebih besar terhadap Naib Presiden KEADILAN itu.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa berkata, tidak mustahil Umno BN terbabit secara langsung dalam kes pendakwaan ke atas Tian.
Katanya, ini kerana Ahli Parlimen Batu itu dijadikan kambing hitam untuk menutup kelemahan kerajaan BN berhubung pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
“Penahanan Tian Chua tidak munasabah kerana beliau berada di mahkamah dan bersedia untuk didakwa.
“Penahanan sebelum pendakwaan bertujuan untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah. Dalam kes ini, tindakan polis itu bercanggah dan tiada keperluan,” kata Fariz ketika dihubungi.
Tian cuba ditahan dua anggota polis di kafetaria Mahkamah Jalan Duta kira-kira jam 9.45 pagi tadi untuk didakwa di bawah Akta Hasutan berkenaan isu Lahad Datu.
Beliau bersama peguam Latheefa Koya dan beberapa penyokong bersarapan di kafetaria sementara menunggu kes bermula.

Bagaimanapun, penahanan itu ditentang peguam sehingga menimbulkan sedikit kekecohan.
Mengulas lanjut, Fariz berkata, pendakwaan juga harus dikenakan terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana gagal menyelesaikan insiden Lahad Datu.
“Sepatutnya dari awal lagi, Hishammuddin kena berani mengisytiharkan penceroboh bersenjata sebagai pengganas tetapi itu tidak berlaku.
“Kesannya, keselamatan dan kedaulatan negara serta rakyat Sabah terancam berpunca kelembapan kerajaan untuk bertindak pantas.
“Akibatnya nyawa anggota keselamatan terkorban dan sekarang mereka menggunakan Tian pula untuk dijadikan kambing hitam sebagai alasan menutup kelemahan kerajaan Umno BN,” kata Fariz. 

No comments:

Post a Comment