“Sebaik-baiknya bawalah pulang mayat mangsa dan anak kapal MH17 (warga Malaysia) ke tanah air walaupun hanya sebelah kaki atau sehelai rambut,” kata pramugari MAS Alyza Hanum Daum.
Dia ditemui wartawan Harian Metro ketika melawat ruang memorial menempatkan ribuan anak patung dan bunga sebagai simbolik simpati ahli keluarga dan rakan terhadap mangsa MH17 di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol di sini, pagi semalam.
Alyza Hanum baru selesai bertugas sejurus pesawat MAS mendarat di Amsterdam jam 8 pagi semalam waktu tempatan mengambil kesempatan melawat ruang memorial itu bersama 13 kru MAS yang lain.
Suasana menjadi sebak seketika apabila pramugari kanan, Shanti Sundram, Norashikin Mohd Noor dan Zaeti Zian Abdul Aziz tidak dapat menahan air mata tatkala melihat potret wajah kru pesawat MH17 yang diletakkan di sudut khas memorial berkenaan.
Alyza mengakui kebanyakan kru MH17 terbunuh itu bukan hanya dianggap sebagai rakan setugas, malah sahabat karibnya.
“Tragedi pada 17 Julai lalu masih dirasai kesedihannya sehingga kini. Malah, saya trauma apabila mengetahui ditugaskan penerbangan MAS ke Amsterdam, Belanda, semalam (malam kelmarin).
ZAETI mengesat air mata ketika menatap wajah rakannya Azrina ketika melawat ruang memorial mangsa MH17 di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, pagi semalam.
“Jika boleh saya mahu tukar jadual tugas ini (penerbangan ke Amsterdam) tapi saya perlu hadapi hakikat kehilangan (rakan MH17) itu. Tugas ini perlu diteruskan,” katanya yang sudah berkhidmat dengan MAS sejak 11 tahun lalu.
Sementara itu, Zaeti Zian bagaikan hilang kata-kata dan hanya mampu menitis air mata ketika melihat gambar rakan setugasnya, Azrina Yakob, yang terkorban dalam nahas MH17.
Menurutnya, Azrina dan dia menyertai kumpulan bola jaring MAS dan pernah bertanding di Singapura tahun lalu.
“Saya masih terbayang wajah manisnya sehingga kini. Perasaan sedih sukar dibendung bila melihat gambar Azrina diletakkan bersama ratusan mangsa MH17 yang lain di sini,” katanya.
Shanti yang sudah 25 tahun bertugas dengan MAS memberitahu, tragedi berkenaan masih memberi kesan emosi kakitangan MAS yang bertugas.
“Kami umpama satu keluarga besar. Tragedi bertimpa-timpa MH370 disusuli MH17 bukan mudah untuk dilupakan begitu saja.
“Pada hari tragedi MH17 berlaku , saya berulang menukar saluran televisyen bagi memastikan nahas itu benar-benar berlaku,” katanya.
No comments:
Post a Comment