• Dr Mujahid (tiga, kiri) menyatakan pendirian bersama PR disokong DAP Kuala Kurau.Dr Mujahid (tiga, kiri) menyatakan pendirian bersama PR disokong DAP Kuala Kurau.

PARIT BUNTAR - Keputusan dua Adun Pas menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, berkemungkinan dibuat atas dasar mengukuhkan hubungan parti itu dalam PR.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, dalam menangani kemelut kepimpinan di Selangor, Pas sentiasa berdiri atas satu landasan persefahaman iaitu mengutamakan usaha mengukuhkan PR.

Mengulas pemecatan Abdul Khalid sebagi ahli PKR, beliau berkata, Pas beranggapan penyandang Menteri Besar Selangor itu kini tidak mempunyai sebarang locus standi mewakili perjuangan PR.

“Pada pendapat saya, tindakan dua Adun Pas iaitu Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin mengingkari arahan parti supaya berdiam diri sehingga satu keputusan muktamad dicapai dalam mesyuarat khas Pas Pusat pada 17 Ogos ini, mungkin satu tindakan tersendiri mereka dalam memastikan hubungan parti dalam PR sentiasa teguh dan kukuh.

“Mungkin dua Adun Pas itu salah faham arahan dikeluarkan kepimpinan Pas Pusat, namun saya yakin tindakan dibuat atas dasar semangat mengukuhkan hubungan parti dalam PR yang mungkin terjejas sejak isu kemelut Menteri Besar Selangor timbul,” katanya di pekarangan Masjid Al-Ridzuaniah.

Dr Mujahid turut mengesahkan beliau akan kekal bersama PR dan yakin kemungkinan Pas akan keluar PR atau berpecah dua tidak akan timbul berikutan tercetusnya krisis kepimpinan kerajaan di Selangor.

Menurutnya, mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat perlu segera diadakan bagi menyelesaikan masalah melibatkan krisis Selangor bagi mengelakkan keyakinan rakyat negeri itu terjejas.

“Saya meminta rakyat percaya Pas akan kekal dalam PR dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan parti-parti politik di dalam PR dalam menyelesaikan kemelut krisis kepimpinan di Selangor secepat mungkin.

“Saya turut menggesa kesemua Adun Pas dan PR di Selangor terus bersama PR dan memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat walau apa pun terjadi,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan tatatertib perlu dikenakan terhadap dua Adun Pas kerana mengingkari arahan parti, beliau enggan mengulas dan menyerahkan keputusan kepada Jawatankuasa Pas Pusat.