• Sallehen Mukhyi

SHAH ALAM - Exco Pas meletakkan diri mereka sebagai benteng terakhir untuk mempertahankan kerajaan PR menerajui kepimpinan Selangor.

Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, beliau dan tiga rakan Pas yang masih berkhidmat dalam Kabinet Selangor harus bekerjasama dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendapat perkenan Sultan kerana bimbang akan diganti dengan exco baharu.

“Kalau tidak bekerjasama dengan Abdul Khalid sebagai menteri besar yang diperkenan oleh Tuanku, maka nanti baginda akan pilih orang lain yang boleh bekerjasama dengan Abdul Khalid untuk jadi Exco Selangor.

“Kita tidak tolak kemungkinan Umno yang akan naik jadi exco kalau kami enggan bekerjasama dengan beliau.

"Sebab itu kita merasakan, kalau bercakap dalam konteks PR, boleh jadi kita (Pas) benteng terakhir untuk pertahan kerajaan pakatan rakyat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ketika ditanya pendapatnya berhubung kelancaran pentadbiran Kerajaan Selangor yang dikemudi Abdul Khalid ketika ini, Sallehen mengakui  tidak ada sebarang perubahan, malah ahli majlis juga dikekalkan seperti sedia ada.

Dalam pada itu, Sallehen seolah-olah memberi bayangan bahawa pertukaran menteri besar akan dilaksanakan PR, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan mesyuarat Pas esok.

“Bagi kita soal Abdul Khalid bukan faktor...bila parti minta kita untuk terus bekerja maka kita bekerja.

"Apa pun bergantung kepada keputusan pada 17 Ogos. Kalau betul nak tukar menteri besar boleh tukar, kita akan bersama menteri besar yang baharu tapi prosesnya dibuat harus mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri.

“Tempoh kita jadi Exco bergantung kepada keadaan, boleh jadi sehingga habis penggal iaitu PRU akan datang atau sehingga parti minta kita berhenti,” katanya.

Sementara itu, bekas Exco DAP, Datuk Teng Chang Khim berkata, esok adalah penentu kesetiaan Pas bersama PR.

“Kalau Pas memutuskan untuk tangguh perkara ini, maka kita perlu bersemuka dan berbincang,” katanya.