PERTH 15 Ogos - Kapal Fugro Equator kembali meneruskan usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi, dalam misi ketiganya hari ini selepas syarikat milik firma Belanda, Fugro itu bergelut mengejar tempoh masa yang ditetapkan pihak berkuasa Australia serta misi sukar pencarian di perairan tersebut.
Kapal kedua Belanda, Fugro Discovery pula terpaksa dilencongkan daripada melalui Terusan Suez dan menggunakan perairan di Afrika Barat, selepas bimbang akan diserang lanun dan hanya dijangka tiba di lokasi pencarian pada pertengahan September iaitu 10 hari lewat daripada yang dijadualkan.
Tempoh 12 bulan yang ditetapkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) untuk mencari MH370 pada masa sama mungkin menimbulkan kesukaran buat firma dari Belanda itu, namun bagi Pengarah Urusan Fugro, Steve Duffield tetap optimis dengan kemampuan syarikatnya.
"Kami tahu tentang tempoh masa setahun itu. Kami menjalankan pencarian di kawasan yang ditetapkan ATSB kerana mereka sentiasa mengemaskini data," katanya.
Kawasan pencarian yang ditetapkan ATSB adalah di kawasan 60,000 kilometer persegi selatan Lautan Hindi, menyamai Tasmania atau 1,600 kilometer dari pantai Australia Barat.
Duffield yakin pihaknya mampu menjumpai satu kawasan lapangan serpihan atau paling tidak satu objek berukuran 2 meter x 2 meter, dipercayai enjin pesawat berdasarkan daripada satu ujian yang mengenal pasti serpihan berkenaan.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai dijangka mengunjungi Australia minggu depan bagi bertemu pasukan mencari dan berjumpa Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140816/lu_06/Misi-pencarian-MH370-diteruskan-kapal-Belanda#ixzz3AVIx8nGi
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment