Saturday, August 16, 2014

Perbincangan kerajaan Filipina-MILF selesai


GAMBAR fail tidak bertarikh, memaparkan Pengerusi MILF, Murad Ebrahim berjalan bersama pengikutnya di kem utama MILF di Darapanan, selatan Filipina. - Agensi
MANILA 15 Ogos - Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) hari ini menamatkan perbincangan berhubung terma yang terdapat di dalam perjanjian damai untuk membentuk undang-undang baharu Bangsamoro.
Mac lalu, MILF menandatangani perjanjian damai bersama kerajaan Filipina, namun menghadapi kesulitan dalam membentuk draf undang-undang mewujudkan sebuah kerajaan autonomi Islam di negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian ini.
"Selepas mengadakan beberapa siri pertemuan, kami telah memuktamadkan beberapa isu termasuklah dalam pembentukan Undang-Undang Asas Bangsamoro," kata Ketua Perunding Filipina, Paquito Ochoa dan Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal dalam satu kenyataan bersama.
Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua belah pihak sudah mencapai kata sepakat selepas perbincangan mengenainya bermula pada 1 Ogos lalu dan ‘draf akhir Undang-Undang Asas Bangsamoro akan disiapkan serta dihantar kepada Presiden Benigno Aquino III’.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyatakan tentang maklumat lanjut berkenaan resolusi yang telah dicapai.
Pemberontak MILF terpaksa bertempur sejak tahun 1970-an demi mencapai kemerdekaan dalam konflik yang meragut berpuluh-puluh ribu nyawa itu.
Proses pembentukan kawasan autonomi di Mindanao mengalami sedikit masalah selepas pasukan perundangan Aquino meminta draf rang undang-undang yang dibentuk oleh satu jawatan kuasa bersama antara pihak kerajaan dan MILF diubah pada April lalu.
Keadaan terbabit menyebabkan pemberontak MILF mendakwa kerajaan cuba untuk mengingkari perjanjian damai yang telah dimeterai.
Perbincangan terbaharu itu dilihat sebagai satu langkah kritikal dalam memastikan perjalanan perjanjian damai berjalan dengan lancar, sekali gus membolehkan Kongres meluluskan undang-undang tersebut pada akhir tahun ini atau awal tahun depan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140816/lu_04/Perbincangan-kerajaan-Filipina-MILF-selesai#ixzz3AVIUQh9V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment