Saturday, August 16, 2014

Pengundi persoal tindakan Saari Sungib sokong Wan Azizah


Sabtu, 16 Ogos 2014 @ 12:04 AM
Pengundi persoal tindakan Saari Sungib sokong Wan Azizah

slug: story nr03 (ted lama)

Oleh Nora Mahpar

noramahpar@bh.com.my

HULU KLANG: Pengundi di Hulu Klang yang wakil rakyatnya daripada PAS, Saari Sungib rata-rata tidak memahami pendiriannya menyokong Datin Seri Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan menuntutnya kembali kepada keputusan PAS.

Mereka sebaliknya mahu Saari dan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Hasnul Baharuddin (Morib) tegas dan mengikut pendirian Majlis Ulama PAS Pusat yang menyokong Khalid kekal jawatan sedia ada.

"Saya tak faham kenapa dua ADUN PAS ini perlu sokong Wan Azizah jadi MB. Walhal, kepemimpinan tertinggi parti itu sudah menyatakan sokongan kepada Khalid. Kenapa mereka perlu ingkar dan langgar?

"Adakah ia disebabkan oleh kepentingan politik peribadi atau ditekan oleh individu tertentu? Saya harap beliau (Saari) tarik balik pendiriannya dalam menyatakan sokongan kepada Wan Azizah," katanya ketika ditemui BH Online di Taman Keramat AU2 di sini, hari ini.

Pendapatnya disokong mahasiswa dari Universiti Madinah, Mohd Amin Azman Shah, 23, yang berasal dari Gombak, menganggap kemelut itu tidak seharusnya berlaku kerana pentadbiran sedia ada sudah menjalankan tugas dengan baik.

"Krisis ini sepatutnya tidak berlaku. MB sedia ada (Khalid sudah menjalankan mandat diberikan rakyat dengan cukup baik, kita dapat lihat pentadbirannya tidak ada ketirisan...beliau cukup amanah dan telus sebagai pemimpin.

"Sudah-sudahlah mengeruhkan keadaan yang sudah sedia jernih, yang baik jangan diburuk-burukkan... yang bersih jangan dikotor-kotorkan," katanya ketika ditemui BH Online di Taman Keramat AU2 di sini.

Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor tercetus selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan Presidennya yang juga ADUN Kajang itu pengganti Khalid pada 21 Julai lalu.

'

Bagaimanapun, Khalid enggan berundur dan keputusannya itu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kemelut lebih parah apabila Khalid kemudian memecat enam EXCO kerajaan negeri dan dalam masa sama mengekalkan empat ADUN PAS yang menyokongnya.

Sementara itu, seorang pesara tentera, Ibrahim Baharudin, 58, menganggap cubaan menjatuhkan Khalid daripada jawatannya itu sebagai politik kotor yang memualkan rakyat dan mendakwa ia direncana pihak tertentu yang mempunyai kepentingan sendiri sertakan tamakkan kuasa.

"Tindakan menukar Menteri Besar tidak patut berlaku sekarang, kalau nak tukar pun tunggulah pilihan raya umum nanti.

"Kalau buat pilihan raya sekarang sudah tentu ia menelan belanja besar... itu semua kos, ia datang dari mana? Duit rakyat juga," katanya yang menetap di Taman Keramat di sini.

Semalam, Saari dan Hasnul menyertai sidang media khas bersama Wan Azizah bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR itu sebagai Menteri Besar, sekali gus disifatkan mengkhianati keputusan Majlis Ulama PAS yang sudah menyatakan pendirian menyokong Khalid kekal dengan jawatannya.

Ekoran kenyataan itu, PAS Selangor memberi tempoh 24 jam bermula petang semalam kepada dua ADUN berkenaan untuk menarik balik pendirian dan tindakan yang dibuat atau menghadapi tindakan tatatertib.

BH Online cuba mendapatkan reaksi Saari sejak pagi semalam namun gagal bertemunya termasuk ke Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang itu di Taman Keramat AU2, selain membuat panggilan telefon.

Ketika di pusat khidmat berkenaan, kakitangannya mendakwa mereka juga gagal menghubungi Saari sejak semalam, iaitu selepas beliau turut dilihat menghadiri sidang media Wan Azizah petang kelmarin.

"YB sejak hari Rabu tidak masuk pejabat, kami cuba untuk hubungi beliau namun tidak berjawab sejak semalam. Bukan puan saja yang cari tapi ada media lain juga datang sini," katanya yang enggan dikenali.

BH Online kemudian ke kediaman Saari di Taman Sri Ukay namun seorang individu dipercayai ahli keluarganya mendakwa tidak mengetahui di mana Saari berada.

No comments:

Post a Comment