BENOA, Bali - Nelayan di daerah ini mendakwa hidup mereka semakin terhimpit selepas hasil tangkapan mereka semakin berkurangan secara mendadak sejak kebelakangan ini.
"Tangkapan sekarang mulai berkurangan. Selain faktor cuaca, sebab utamanya adalah banyak kapal nelayan menggunakan pukat tunda dan pukat cincin, luah Andi kepada Tribunnews.com di kapal Jurong Jaya di pelabuhan Benoa, Denpasar, baru-baru ini.
Andi yang gusar dengan keadaan itu berkata, kedua-dua jenis pukat itu amat meresahkan nelayan di daerah ini yang kebanyakannya hanya menggunakan jaring jenis panjang atau dikenali penduduk tempatan sebagai long line.
"Mereka (kapal nelayan besar) menjaring semua jenis ikan tidak kira ikan kecil sehingga yang besar. Malah, pukat mereka lebih besar berbanding kami, kata Andi.
Jelas Andi, jaring panjang hanya mampu menangkap kira-kira 15 tan ikan setiap kali nelayan turun ke laut, namun kapal besar yang menggunakan pukat tunda mampu memperoleh empat kali ganda jumlah ikan yang diperoleh nelayan di situ.
Tegasnya, jika keadaan itu tidak diatasi, nelayan yang menggunakan jaring panjang akan kehilangan kerja.
"Ketika ini, hasil tangkapan kami semakin berkurangan. Justeru, kami meminta pihak berkuasa supaya menangani penggunaan pukat jenis itu bagi membolehkan kami terus dapat turun ke laut mencari ikan, jelas lelaki berasal dari Jawa Tengah itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengawasan Marin dan Perikanan Bali, Bangkit berkata, mereka sedar tentang keluhan dan aduan nelayan dari Pelabuhan Benoa itu.
"Kami mengesahkan tentang aduan dan keluhan dari nelayan dan pengusaha jaring panjang, namun kami belum dapat mengambil tindakan kerana jaring jenis pukat cincin dibenarkan kerajaan. Jadi, kami belum boleh mengambil tindakan, katanya.
Bangkit berkata, meskipun tiada tindakan, pihak Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia sedang membincangkan isu tersebut untuk diberi perhatian. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140816/lu_09/Nelayan-sukar-dapat-ikan#ixzz3AVK5e0lA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment