Saturday, August 16, 2014

Brunei hasil filem aksi silat


Bandar Seri Begawan: Selepas hampir 54 tahun tidak menghasilkan sebarang filem, industri perfileman Brunei Darussalam kembali diwarnai dengan penghasilan sebuah filem aksi berjudul Yasmine.

Filem arahan pengarah tempatan, Siti Kamaluddin dan penerbit Din Kamaluddin itu mempertaruhkan aksi pertarungan silat bagi menarik minat penggemar filem aksi.


Filem terbitan Origin Films itu dijangka menemui peminat di Brunei dan Indonesia pada 21 Ogos 2014.



“Silat adalah seni bela diri yang terkenal di rantau Asia Tenggara. Oleh sebab itu saya memberi lebih fokus pada bahagian aksi agar ia kelihatan hebat dan menghiburkan,” kata Siti.


Aksi pertarungan dalam filem berkenaan diperkuatkan lagi dengan kehadiran penyelia aksi berpengalaman selama 30 tahun dalam industri filem Hong Kong dan Hollywood, Chan Ming Ching.


Yasmine menampilkan bintang baru Brunei, Liyana Yus yang memegang watak utama sebagai Yasmine dibantu oleh beberapa artis Indonesia seperti Reza Rahadian (Fahri), Dwi Sasono (Tung Lung) dan Agus Kuncoro (Jamal).

Ia mengisahkan mengenai kisah cinta di antara Yasmine, seorang pelajar dengan seorang juara silat antarabangsa, Adi.


Bagaimanapun Adi rapat dengan musuh Yasmine iaitu Dewi yang juga seorang atlet silat.

Kecewa dengan perkara itu, Yasmine memutuskan untuk menyertai kelab silat dan berlatih untuk kejohanan silat kebangsaan yang turut disertai Dewi.


Siti berkata, dia memang meminati silat sejak dulu dan berasa beruntung kerana dapat menghasilkan filem mengenainya.


“Saya juga bersyukur kerana penghasilan filem ini mendapat sokongan kerajaan Brunei. Selain itu, saya selesa bekerja dengan nama besar industri perfileman Indonesia. Mereka individu hebat dan saya sangat teruja dapat bekerjasama dengan mereka,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

No comments:

Post a Comment