Amsterdam: “Orang awam dan keluarga mangsa tidak henti menghantar ribuan anak patung dan jambangan bunga sejak 18 Julai lalu,” kata kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol di sini, Elham Amir yang bertugas menyelia ruang memorial mangsa pesawat MH17.
Menurutnya, ada antara ahli keluarga mangsa MH17 meratap dan menangis setiap kali mengunjungi ruang khas memorial itu.
“Saya akan cuba memujuk dan mententeramkan mereka. Hati saya turut tersentuh melihat kesedihan mereka yang kehilangan anak, ibu bapa atau ahli keluarga terdekat.
“Malah juruterbang dan kru MAS melawat sudut memorial ini saban hari,” katanya semalam.
Dia berkata, setiap pengunjung sudut memorial itu akan mengambil kesempatan menulis mesej simpati pada empat buku ucapan takziah yang disediakan.
“Sebelum ini orang ramai meletakkan anak patung dan jambangan bunga di pintu masuk balai ketibaan sebelum dipindahkan ke ruang dalam lapangan terbang ini dua minggu lalu,” katanya.
Sementara itu, wartawan Harian Metro mendapati ruang kedai yang diubah menjadi sudut memorial itu menempatkan lebih 5,000 anak patung pelbagai saiz disusun di meja dan rak khas.
Selain itu keluarga mangsa turut meletakkan gambar potret, kad ucapan, bendera negara, lilin dan buku di sudut memorial sepanjang hampir 50 meter itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16
No comments:
Post a Comment