Saturday, July 23, 2011

15 kena tindakan

PUTRAJAYA: Seramai 17 pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) sudah disiasat dengan 15 daripadanya dikenakan tindakan disiplin, termasuk 12 dibuang kerja, dua diturunkan gaji manakala seorang lagi diberi amaran selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan sehingga 17 Julai lalu, kata Ketua KDRM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf.

Katanya, kesalahan berkenaan termasuk tidak hadir bertugas, rasuah dan salah guna kuasa, penyalahgunaan dadah serta tidak mematuhi prosedur ditetapkan.


“Jabatan tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan dan setiap salah laku, mereka bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Malaysia (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat KDRM, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi PPPR, Datuk Johan Jaaffar.


Selain itu, beliau berkata, KDRM akan mengguna pakai sistem e-penempatan untuk menempatkan kakitangannya bagi mengelak persepsi negatif dan mengelakkan tuduhan liar terhadap penempatan seseorang pegawai di lokasi tertentu.

“Melalui sistem ini, penempatan dibuat secara automatik. “Sistem akan pastikan ke mana seseorang itu ditempatkan berdasarkan profil pegawai dan kepakarannya.


“Jika dia mempunyai kepakaran dalam bidang teknikal, sistem akan menentukan di mana lokasi terbaik untuk ditempatkan. “Sekarang kami dalam proses kajian perintis bagi memastikan keberkesanannya,” katanya Mengulas kenyataannya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kastam Sarawak, 11 Julai lalu, yang mendakwa media sengaja mensensasikan berita sehingga mencemarkan imej pihak berkuasa itu kebelakangan ini, beliau berkata: “Saya tak ada nawaitu nak salahkan media, kita sudah lama bekerjasama, hubungan saya dengan media pun sangat baik sejak bertahun-tahun, malah saya ramai kawan di kalangan media.” Menurutnya, insiden di Sarawak itu sesuatu yang malang dan berlaku mungkin akibat salah faham, malah laporan dibuat keluar dari konteks.

“Saya tak kata mereka (media) tipu...tidak, mereka ada di sana, tetapi apa yang saya kata mungkin mereka keluar dari konteks. “Kerja media memang mencari berita, kalau tak ada berita apa nak dilaporkan tetapi hari itu mungkin terdapat salah faham sedikit,” katanya.

myMetro | 15 kena tindakan

No comments:

Post a Comment