Saturday, July 23, 2011

RM12 juta peruntukan kos majlis perkahwinan Norman, Memey



NORMAN Hakim (dua dari kanan) dan Memey Suhaiza (kiri) bersama Jimmy Choo dan Winnie Sin (kanan) menunjukkan kasut dan barangan tajaan sempena majlis perkahwinan pasangan selebriti itu pada 28 September ini di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 22 Julai - Sebanyak RM12 juta diperuntukan untuk kos keseluruhan majlis perkahwinan Norman Hakim dan Memey Suhaiza Suhaimi yang akan berlangsung di Nirwana Ballroom, Hotel Crowne Plaza Mutiara di sini pada 28 September ini.

Kos tersebut termasuk barang kemas yang diinsuranskan dan juga hiasan dewan yang menampilkan persandingan ala New York rekaan khas perunding perkahwinan, Nas Great Idea melibatkan kos sebanyak RM150,000.

Menurut wakil Rafflesia The Pearl Centre, Bill Bora, hiasan dewan yang menampilkan konsep warna putih itu bakal dipenuhi dengan bunga-bunga segar yang diimport.

"Sebanyak tujuh lori bunga- bunga segar akan digunakan untuk menghiasi dewan. Konsep yang ditampilkan berbeza daripada apa yang pernah dilakukan oleh Nas Great Idea sebelum ini.

"Malah di dalam dewan itu kelak akan didirikan empat karusel yang dihiasi dengan set sofa dan di tengahnya terdapat pelamin. Majlis pada malam itu khas untuk rakan-rakan selebriti dan media," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan penaja-penaja untuk acara resepsi Norman dan Memey yang diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara di sini, hari ini.

Turut hadir, antaranya, pereka kasut ternama, Prof. Datuk Jimmy Choo dan Pengarah Urusan Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin, yang merupakan penaja utama majlis resepsi Norman dan Memey.

Bill dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia semalam, berkata, Memey, 23, akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta.

Bakal isteri Norman itu akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.

Selain dua persalinan yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk dipadankan dengan pakaian tersebut.

Sementara itu, dua pasang kasut yang direka khas oleh Jimmy mengikut kesesuaian pakaian dan hiasan barang kemas yang bakal dipakai oleh Memey dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang.

Menurut Bill, majlis perkahwinan yang bakal mencatat sejarah sebagai Wedding of The Yearitu dijangka dihadiri 200 tetamu termasuk artis luar negara.

"Kami turut mengundang artis luar negara sebagai tetamu dan empat artis tempatan akan dipilih sebagai pengapit pengantin, iaitu dua lelaki dan dua perempuan," katanya.

Sementara itu, Norman dan Memey menganggap apa yang dilakukan oleh Rafflesia The Pearl Centre adalah diluar jangkauan dan tidak pernah diimpikan oleh mereka.

Menurut Norman, 35, mereka dihubungi oleh Bill tiga minggu lalu untuk membincangkan hal tersebut.

"Bagi saya majlis yang diatur ibarat perkahwinan di alam kayangan. Apa yang dilakukan oleh pihak Rafflesia dan penaja lain adalah di luar jangkaan. Tidak sangka ia begitu meriah sekali.

"Mungkin ini adalah rezeki daripada Allah setelah saya dan Memey diuji dengan pelbagai dugaan. Tidak sangka apa yang berlaku ke atas kami selama ini ada hikmahnya," kata Norman.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment