Saturday, July 23, 2011

Hasanatou dalami al-Quran 20 jam sehari


KUALA LUMPUR 22 Julai - Kedudukan al-Quran sebagai sumber rujukan tertinggi umat Islam berjaya menarik minat qariah dari Gambia, Hasanatou Jallow, 18, untuk mendalami kitab suci tersebut selama 20 jam sehari sejak berumur sembilan tahun.

Katanya, minat yang mendalam terhadap al-Quran mendorong beliau untuk menjalani kehidupan penuh berdisiplin supaya setiap masa yang berlalu dimanfaatkan sepenuhnya dengan penjiwaan terhadap mukjizat terbesar agama Islam itu.

"Kebanyakan golongan muda kini tidak boleh 'hidup' jika tidak didampingi gajet-gajet terkini seperti telefon bimbit, komputer dan Internet.

"Namun sebaliknya, saya tidak boleh hidup tanpa al-Quran di sisi saya kerana ia adalah pelengkap kepada kehidupan harian saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jelasnya, meskipun pernah jatuh sakit akibat kurang tidur dan terlalu penat, keinginan beliau untuk terus memperoleh keberkatan kitab suci tersebut tidak pernah pudar dan ia bertambah hari demi hari.

Katanya, kehidupan hariannya bermula dengan pembacaan kitab suci itu pada waktu subuh dan pada pukul 7 pagi sehingga 7 malam, beliau akan ke kelas tafsir sebelum mengkhatamkan bacaan al-Quran pada sebelah malamnya.

Beliau turut mengakui tertarik dengan gaya bacaan bertaranum dan bercadang untuk menetap di negara ini supaya dapat menimba seberapa banyak ilmu tentang kaedah bacaan itu.

"Malam ini, saya akan memperdengarkan bacaan Surah Al-Isra' bermula ayat kesembilan. Insya-Allah, saya akan menggunakan pengalaman serta latihan yang ada untuk memastikan pembacaan yang terbaik," katanya yang hafaz kitab suci itu sejak berumur 12 tahun.

Qari dari Vietnam, Sa Lay Mal Ha Lim pula telah menjalankan latihan intensif selama beberapa tahun sebagai persiapan untuk menghadapi pertandingan berprestij tersebut.

Jelas pelajar sekolah agama pondok di Bukit Payung, Terengganu itu, kemudahan serta pengalaman luas tenaga pengajar di negara ini telah memberi ruang kepada orang asing sepertinya untuk mendalami ilmu agama dengan lebih formal dan bebas.

"Berbanding tempat asal saya (Vietnam), kewujudan sekolah agama adalah terhad disebabkan kekurangan tenaga pengajar yang berpendidikan formal.

"Namun, sejak kebelakangan ini, kerajaan negara kami semakin bersifat terbuka dan memberi kebebasan dalam menganjurkan kelas agama dan mendirikan lebih banyak pusat pendidikan agama Islam," ujarnya yang memperdengarkan bacaan Surah Al-Anam dari ayat ke-36.

Sementara itu, qari dari Senegal, Ousmane Sylla menganggap penglibatan beliau pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53 itu sebagai hadiah kepada arwah bapanya yang telah menjadi pendorong utama penyertaannya pada majlis tersebut.

"Jika bapa saya masih hidup, pasti beliau akan berbangga dengan saya kerana dapat membawa nama Senegal ke persada antarabangsa," tambahnya yang memperdengarkan Surah Al-Ankabut bermula ayat kesembilan.

Seramai tujuh peserta terakhir memperdengarkan bacaan pada malam ketujuh majlis tersebut yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Empat peserta lain adalah Ahmed Murshid Mohamed Noorullah dari Sri Lanka yang memperdengarkan Surah Yunus dari ayat ke-62, Eithahir Mohamed dari Sudan (Surah Al-Ahzab ayat pertama), Ehlimana Godinjak dari Bosnia Herzegovina (Surah Al-Anam ayat ke-117) dan Romlee Leahmina dari Thailand (Surah Al-Baqarah ayat ke-77).

Seramai 81 peserta termasuk 50 qari dari 50 negara mengambil bahagian dalam tilawah tahun ini yang akan berakhir esok.

Malaysia diwakili oleh qari Amirrahman Abas dan qariah, Suraya Abu Hassan yang muncul johan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment