Saturday, July 23, 2011

Kes pembelian kapal selam: Peguam Perancis diusir

KUALA LUMPUR: Peguam Perancis, Encik William Bourdon, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kemudian diusir, semalam.

Kejadian ini selepas beliau menghadiri satu majlis makan malam di Pulau Pinang, malam kelmarin, apabila beliau memberi taklimat mengenai perkembangan siasatan kehakiman Perancis berhubung pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion ($2.8 bilion) oleh kerajaan Malaysia, yang menimbulkan kontroversi.

Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cik Cynthia Gabriel, yang mengiringi Encik Bourdon semasa lawatannya, dipetik oleh satu laman berita setempat sebagai berkata para pegawai imigresen menahan peguam itu dalam pesawatnya sebaik sahaja ia mendarat selepas berlepas dari Pulau Pinang tengah hari semalam, dan dibawa ke tempat penantian.

'Para pegawai imigresen masuk ke pesawat dan menahan beliau bagi disoal siasat,' kata Cik Gabriel, dalam pesanan ringkasnya (SMS) kepada laman berita, The Malaysian Insider, semalam.

Namun, Bourdon kemudian diusir pulang ke negaranya bersama isteri beliau oleh pihak imgresen Malaysia.

'Saya mengisytiharkan bahawa saya bertindak sebagai peguam Suaram dengan sepenuhnya sebagai menghormati tugas dan peraturan saya yang mematuhi undang-undang negara dan antarabangsa. Saya menganggap keputusan pengusiran ini satu pelanggaran hak untuk menjalankan profesion saya sebagai seorang peguam,' kata Encik Bourdon dalam kenyataannya semalam.

Pembelian dua kapal selam itu daripada syarikat pertahanan Perancis, DCNS, dibuat pada 2004 dan 2005, apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, masih menjadi menteri pertahanan negara itu, dan syarikat Perimekar Sdn Bhd, kendalian pembantu rapat beliau, Encik Abdul Razak Baginda, dilaporkan menerima komisen RM500 juta ekoran urus niaga itu.

Pada Disember 2009, Suaram memfailkan aduan kepada mahkamah Perancis mengenai hal itu dan mendapatkan khidmat Encik Bourdon.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment