Saturday, July 23, 2011

‘Kami pernah kelaparan’

JOHOR BAHRU: “Kecederaan termasuk pendarahan dalam perut yang saya alami akibat dibelasah suami mungkin sembuh, tetapi pengalaman perit menjalani kehidupan serba kekurangan termasuk terpaksa berlapar beberapa hari akibat kehabisan makanan, tetap kekal dalam ingatan.

“Keadaan itu mengakibatkan saya dan anak terpaksa bergantung kepada ihsan jiran untuk sesuap nasi, namun kami tidak pernah mengharapkan kepulangan suami,” kata seorang wanita yang ditinggalkan suami, Sharifah Aziayatun Syed Alwi, 33, ketika ditemui di rumahnya di Taman Anggerik, kelmarin.


Bekas kerani syarikat swasta itu berkata, dia lebih rela berpisah dengan suami kerana trauma dengan kekejaman lelaki itu yang sering menderanya hampir setiap hari.

Menceritakan tragedi hitam itu, Sharifah Aziayatun berkata, suami sering memukulnya di depan anak sulung hingga kanak-kanak berkenaan menangis ketakutan dan merayu bapanya menghentikan perbuatan itu.


“Saya juga sering disepak terajang dan ditampar suami yang panas baran, malah lebih lagi jika saya bertanyakan nafkah untuk empat anak kami.


“Sepanjang 11 tahun berkahwin, saya sudah lali dengan masalah kewangan memandangkan suami sering bertukar kerja,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka kesabarannya selama ini hanya sia-sia kerana suami masih tidak pernah insaf sebelum meninggalkannya dan anak-anak berusia tiga hingga 10 tahun sejak April lalu.

Empat anak Sharifah Aziayatun ialah Nur Atirah Syafikah, 10, Rabiatul Atirah, 8, Mohd Iman Mukhriz, 6, dan Nur Atirah Nabilah, 3.

Menurutnya yang sudah berhenti kerja setahun lalu, akibat didera suami, dia mengalami pendarahan dalaman di perut dan masih menerima rawatan sekurang-kurangnya sekali sebulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Katanya, masalah kesihatan dialami itu menyebabkannya sukar bekerja hingga keluarganya tidak mempunyai sebarang pendapatan dan terpaksa bergantung kepada ihsan jiran sejak tiga bulan lalu.


“Empat bulan lalu, darah beku di perut saya disedut keluar, namun saya diminta menjalani rawatan susulan termasuk pada 27 Julai ini bagi mengelak kesihatan bertambah buruk,” katanya.


Menurutnya, dia sekeluarga juga pernah hanya meneguk air suam untuk mengisi perut kerana kehabisan makanan dan tidak tergamak meminta bantuan jiran.


“Namun jiran yang bimbang melihat anak tidak bermaya dan lesu akibat tidak makan menawarkan bantuan seperti makanan dimasak mahu pun beras selain membelikan sarapan pagi,” katanya.


Katanya, dia hanya berserah kepada takdir Allah jika diminta keluar dari rumah yang diduduki dalam tempoh kurang 10 hari berikutan gagal melunaskan sewa tiga bulan.


“Pemilik rumah yang bersimpati hanya memberikan tempoh untuk kami tinggal di sini hingga akhir bulan.


Kami buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan jika terpaksa keluar.


“Saya seperti digantung tidak bertali, bercerai tidak, diberi nafkah pun tidak. Matlamat hidup saya hanya satu iaitu berusaha memberi pendidikan sebaik mungkin kepada anak-anak,” katanya.

myMetro | ‘Kami pernah kelaparan’

No comments:

Post a Comment