Saturday, July 23, 2011

Indonesia bimbang bawa pulang pengganas cetus huru-hara

JAKARTA: Agensi Antikeganasan Indonesia (BNPT) bimbang suspek pengganas berprofil tinggi, Umar Patek, yang akan dibawa pulang dari Pakistan bagi menjalani pendakwaan bakal mencetuskan huru-hara di negara itu.

Menyuarakan kebimbangan itu, Ketua BNPT, Encik Ansyaad Mbai, bagaimanapun berkata:

'Proses membawa pulang Umar masih lagi dalam rundingan pemerintah dan walaupun dia merupakan warga Indonesia, masih terdapat beberapa prosedur perlu diikuti.'

Umar, 40 tahun, dipercayai menjadi timbalan komander Jemaah Islamiyah (JI) semasa letupan kelab malam yang membunuh 202 orang di Bali pada 2002.

Sebelum ini, Amerika Syarikat telah menawarkan ganjaran sebanyak AS$1 juta ($1.2 juta) bagi menangkap Umar kerana serangan itu turut membunuh tujuh warganya.

Umar melarikan diri ke Filipina selepas serangan di Bali, mendapat perlindungan dan menjalani latihan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kemudian dengan kumpulan Abu Sayyaf, kata pakar keselamatan.

Jika diekstradisi ke Indonesia, Umar dijangka didakwa di bawah Kanun Jenayah kerana melancarkan serangan yang dirancang serta Undang-undang Darurat ekoran membawa bahan letupan dan senjata api.

Penganalisis pengganasan, Encik Noor Huda Ismail, berkata:

'Kepulangannya boleh dianggap sebagai perkara penting kepada pasukan perisikan negara kerana penglibatannya dalam Jemaah Islamiyah dan secara tidak langsung akan memberi maklumat bagaimana rangkaian tersebut beroperasi, termasuk hubungannya dengan Al-Qaeda.'

Sebelum ini, Pakistan bercadang menghantar tertuduh ke Australia bagi menjalani perbicaraan berhubung kes serangan bom di Bali yang mengorbankan 88 rakyat negara itu.

Umar ditahan di Abbottabad, Pakistan, pada Mac lalu. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment