Selain Shuhardi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat mereka yang dikaitkan membuat laporan palsu kononnya dikasari sewaktu menyertai perhimpunan haram itu.
Individu yang sedang disiasat termasuk Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa dia dilanggar oleh kenderaan polis sedangkan pendedahan rakaman video oleh polis semalam jelas menunjukkan motosikal diboncengnya terjatuh sendiri selepas membuat pusingan U.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya menjalankan tugas sebagai sebuah agensi keselamatan secara profesional dengan menyiarkan video yang memaparkan situasi sebenar perhimpunan tersebut.
"Pengarah KDNKA (Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid telah memberi gambaran sebenar apa yang berlaku pada perhimpunan itu semalam.
"Justeru, kita yakin rakyat sendiri boleh menilai perkara tersebut. Kita juga sedang siasat semua individu yang dikaitkan dalam tayangan sebenar semalam," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Liga Balai Polis siri pertama 2011 di sebuah hotel di ibu negara hari ini.
PDRM semalam mendedahkan rakaman video situasi sebenar perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu bagi menangkis segala tohmahan yang dilemparkan terhadap pasukan tersebut.
Antaranya tohmahan melibatkan Mohamad Sabu yang mendakwa dia dilanggar kenderaan polis, tindakan provokasi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua terhadap pihak polis dan kejadian tembakan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin.
Turut ditayangkan adalah situasi Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia kerana sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata dan rakaman tindakan Shuhardi yang berlakon sebagai Baharudin.
No comments:
Post a Comment