KAHIRAH: Perdana Menteri Mesir, Encik Essam Sharaf, (gambar) berjanji akan membasmi rasuah sedang anggota Kabinet baru negara itu mengangkat sumpah kelmarin.
Encik Sharaf berkata beliau juga akan berusaha membubarkan undang-undang darurat, yang memberi kuasa kepada pemerintah menahan suspek tanpa dibicarakan.
Kabinet baru negara itu tidak dijangka kekal berkuasa lebih daripada empat bulan memandangkan pilihan raya Parlimen negara itu dijadualkan diadakan pada Oktober atau November ini.
Dalam ucapannya, Encik Sharaf berkata beliau akan membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis, yang merupakan faktor utama penggulingan Presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri juga akan membenarkan badan hak asasi manusia melawat banduan.
Para aktivis menyambut baik beberapa aspek Kabinet baru itu tetapi tidak menjangkakan ia mempunyai kuasa melaksanakan perubahan besar memandangkan pihak tentera masih perlu meluluskan sebarang usul yang diketengahkan.
'Ini bukan satu pemerintah revolusi. Ini pemerintah sementara dan saya menjangkakan ia sama lemah berbanding pemerintah sebelum ini,' kata Encik Shadi Ghazaly Harb, seorang pemimpin penunjuk perasaan.
Mengulas kritikan itu, Encik Sharaf akur kelakonan pemerintah sementara selepas penggulingan Encik Mubarak tidak mencapai tahap yang dimahukan.
'Kami berjanji akan menyemak isu-isu ini pada tahap pemerintahan yang selanjutnya,' kata Encik Sharaf.
Pemerintah baru Mesir mempunyai 12 anggota baru dan dua Timbalan Perdana Menteri.
Lagi 13 anggota adalah menteri lama yang mengekalkan jawatan masing-masing.
Dalam satu perkembangan yang mungkin mencetuskan kemarahan, Menteri Dalam Negeri, Encik Mansour el-Issawi, mengekalkan jawatannya dalam Kabinet baru.
Sebelum ini, para penunjuk perasaan telah menuntut agar beliau meletakkan jawatan kerana gagal merombak pasukan polis dan keselamatan. -- AP.
No comments:
Post a Comment