Zon euro, yang dianggotai 17 negara Kesatuan Eropah (EU), dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) akan menyediakan 109 bilion euro, manakala bank-bank akan menyediakan 50 bilion euro, di bawah satu perjanjian yang dipersetujui oleh satu sidang tergempar lewat kelmarin.
'Kami telah menunjukkan bahawa kami tidak akan mengurangkan kekukuhan kesatuan kewangan dan mata wang bersama kami,' kata presiden EU, Encik Herman Van Rompuy.
'Ancaman ini harus ditangani, jika tidak suasananya akan menyebabkan kehilangan keyakinan yang serius dalam mata wang bersama kami dan mungkin juga menjejas pemulihan semula ekonomi Eropah yang sedang berjalan serta seluruh dunia,' katanya lagi.
Para pemimpin itu bersetuju terhadap satu pakej langkah-langkah, termasuk membaik pulih dana krisis zon euro bagi membantu negara-negara lemah, selepas pergolakan pasaran kewangan sejak beberapa hari lalu menggegarkan pasaran di Italy dan Sepanyol, kedua-duanya sedang menghadapi masalah kerana kedudukan kewangannya yang goyang.
'Kesemua negara zon euro harus mengetepikan kepentingan nasional masing-masing dan mengambil prinsip bahawa negara-negara euro zon tidak boleh menghadapi kemuflisan,' kata Perdana Menteri Italy, Encik Silvio Berlusconi.
Satu kemajuan berlaku selepas dua broker kuasa zon euro, Canselor Jerman, Cik Angela Merkel, dan Presiden Perancis, Encik Nicolas Sarkozy, berjaya mengatasi perpecahan selang beberapa jam sebelum sidang tersebut. -- AFP.
Cyberita Online Luar Negara
No comments:
Post a Comment