Saturday, July 23, 2011

Clinton gesa Myanmar bebaskan tahanan politik

Langkah kembalikan kredibiliti
BALI: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, berkata Myanmar akan kehilangan kepercayaan masyarakat antarabangsa, kecuali ia membebaskan tahanan politiknya dan mengadakan dialog terbuka dengan pembangkang.

Myanmar telah mengadakan pilihan raya umum pada lewat tahun lalu dengan kuasa dipindahkan kepada pemerintah awam.

Namun, perubahan itu disifatkan sebagai luaran saja dengan tentera dipercayai masih berkuasa.

'Kami menggesa pemerintah membebaskan lebih 2,000 tahanan politik yang masih meringkuk di penjara,' kata Cik Clinton.

'Pilihannya jelas. Mereka boleh mengambil langkah ini dan mengembalikan semula keyakinan rakyat mereka dan kepercayaan masyarakat antarabangsa atau mereka boleh meneruskan jalan yang mereka ambil sekarang,' tambah beliau kepada 10 wakil negara Asean yang menghadiri persidangan keselamatan di Bali, semalam.

Cik Clinton menghadiri persidangan itu sebagai sebahagian daripada rangka lawatan 12 hari sekeliling dunia bagi berbincang dengan sekutu Amerika berkaitan pelbagai isu, termasuk konflik di Libya dan Syria.

Semalam, Cik Clinton turut memberi isyarat bahawa Amerika tidak setuju jika Myanmar mengambil alih kerusi pengerusi Asean pada 2014.

'Kami percaya anggota Asean akan menilai sama ada negara yang ingin mengambil alih sebagai pengerusi boleh memajukan kredibiliti badan itu dan peranan kepimpinannya di rantau ini,' kata Cik Clinton.

Sebelum ini, pentadbiran Presiden Barack Obama telah cuba berunding dengan Myanmar bagi memperbaiki hubungan dua hala, namun dasar itu tidak menunjukkan hasil konkrit.

Amerika masih mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara itu.

Sementara itu, wakil Korea Utara dan Korea Selatan semalam telah mengadakan rundingan mengenai isu nuklear di luar Forum Serantau Asean, di sini.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyambung semula rundingan enam pihak secepat mungkin.

Semalam, Korea Utara turut mengumumkan ia telah melantik utusan khas baru, Encik Ri Yong Ho, menyertai rundingan enam pihak dengan Korea Selatan, China, Jepun, Russia dan Amerika, mengenai program nuklear negara komunis itu.

Rundingan mengenai pelupusan program nuklear Korea Utara telah mengalami kegenjotan sejak 2008.

Cik Clinton semasa mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China, Encik Yang Jiechi, di sini semalam, berkata kedua-dua pemimpin telah melahirkan harapan agar Semenanjung Korea akan kekal stabil dan aman. -- AP, AFP, Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment