Friday, July 1, 2011

Dua kapal Flotilla II kena sabotaj

70 sukarelawan tubuh pasukan khas tidur bergilir-gilir atas kapal pastikan keselamatan

KAPAL penumpang yang akan dinaiki 10 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla II diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas dua daripada 10 kapal yang menyertai flotilla kemanusiaan itu disabotaj secara fizikal.
Cubaan pihak tertentu untuk mensabotaj kapal seperti dilakukan ke atas MV Juliano dari Kanada dan MV Saoirse dari Ireland menyebabkan lebih 70 sukarelawan terbabit menubuhkan pasukan khas menjaga keselamatan kapal dengan sukarelawan Lifeline4Gaza (LL4G), Ismail Darus, 58, bertindak sebagai ketua.
Bermula semalam, Ismail yang juga Setiausaha Agung NGO Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ekhsan, berkata sukarelawan Malaysia, Itali dan Belanda menjaga kapal itu secara bergilir-gilir, termasuk bermalam di kapal, bagi memastikan ia tidak disabotaj terutama di bahagian enjin kapal.

“Semua sukarelawan akan menjaga keselamatan kapal termasuk wakil media. Mereka akan berada di atas kapal sekurang-kurangnya tiga jam sebelum digantikan,” katanya kepada Berita Harian di Corfu, kepulauan yang terletak 470 kilometer dari Athens, semalam.

Sebelum ini, MV Juliano dan MV Saoirse mengalami kerosakan pada bahagian kipasnya yang didapati dipotong, menyebabkan kapal terbabit tidak dapat belayar seperti dirancang.

Tindakan mensabotaj MV Saoirse menyebabkan enam penumpangnya termasuk Ahli Parlimen Kesatuan Eropah, Paul Murphy, akan menaiki kapal penumpang ditaja Switzerland, Itali, Jerman, Belanda dan Malaysia, menjadikan dua Ahli Parlimen di atas kapal penumpang itu termasuk Ahli Parlimen dari Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sehingga 1 petang semalam waktu tempatan, kapal penumpang terbabit masih belum mendapat kebenaran pihak berkuasa pelabuhan walaupun dokumentasi berkaitan telah disediakan.

Sementara itu di JERLUN, Kerajaan Mesir masih belum menetapkan pendirian untuk membenarkan penggunaan laluan darat menerusi negara itu bagi menyambung misi bantuan kemanusiaan kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie ke Gaza yang terkandas di perairan negara itu sejak bulan lalu.

Penasihat Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sehingga kini kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang membawa paip PVC sepanjang 7.5 kilometer bagi membaik pulih sistem pembetungan dan bekalan air ke Gaza masih belum dapat dibawa masuk ke negara berkenaan.

“PGPF berharap kerajaan Mesir dapat menunaikan janji mereka untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan itu menerusi sempadan Rafah. Ini adalah satu-satunya jalan yang kita ada untuk membawa paip PVC berkenaan ke Gaza selepas usaha menerusi jalan laut disekat rejim Israel,” katanya selepas Majlis Penyerahan Peralatan Kebombaan Kepada Pasukan Bomba Sukarela dan Kempen Keselamatan Kebakaran Parlimen Jerlun di sini, semalam.
Berita Harian Online | Dua kapal Flotilla II kena sabotaj

No comments:

Post a Comment